SEGAMAT: Seorang imam tiba-tiba rebah ketika sedang mengimamkan solat subuh di Masjid Jamek Kampung Sermin, Segamat pada Jumaat.
Menerusi video rakaman televisyen litar tutup (CCTV) berdurasi 45 saat di masjid berkenaan tular memaparkan saat-saat akhir Mohd. Razif Hussin, 62, yang sedang mengimamkan solat dihadiri kira lebih 15 jemaah.
Allahyarham yang merupakan Imam 1, Masjid Jamek Kampung Sermin dilihat tiba-tiba rebah sebelum dibantu beberapa jemaah yang terkejut dengan kejadian berkenaan.
Menurut Musa Atan, 60, sewaktu kejadian berlaku kira-kira pukul 6.18 pagi, tiba-tiba Mohd. Razif terhuyung-huyung ketika selesai membaca surah Al-Fatihah di rakaat pertama.
“Melihat keadaannya itu, beberapa jemaah yang berada berhampirannya cuba menyambutnya.
“Kami baringkan dan riba dia serta turut memberi pertolongan cemas kepada arwah sambil mengajarnya mengucap dua kalimah syahadah,” katanya ketika ditemui di Kampung Sermin di sini, hari ini.
Jenazah Allahyarham disolatkan di Masjid Jamek Kampung Sermin sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sermin, selepas Asar petang Jumaat.
Susulan berhubung kejadian itu, Ketua Polis Segamat, Superintenden Ahmad Zamry Marinsah berkata, polis mengklasifikasikan kes tersebut sebagai mati mengejut. – Kosmo.