CYBERJAYA: Jabatan Imigresen (JIM) menahan dua lelaki warga asing yang juga dalang utama sindiket pekerja asing termasuk bagi pendaftaran Program Rekalibrasi Tenaga Kerja 2.0 (RTK 2.0) pada Rabu.
Ketua Pengarahnya, Datuk Ruslin Jusoh berkata, JIM turut merampas wang tunai sebanyak RM91,550, 12 pasport Bangladesh, senaskhah pasport Indonesia, dokumen syarikat, dokumen permohonan RTK dan tiga telefon bimbit.
Menurutnya, operasi bermula pada jam 1.30 petang itu membabitkan sepasukan pegawai dan anggota pelbagai pangkat dari Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya.
“Berdasarkan aduan dan risikan yang dijalankan selama dua minggu, pasukan operasi diatur gerak setelah berjaya mengesan dan mengekori suspek sewaktu pertemuannya dengan seorang lagi suspek di satu lokasi sekitar Jalan Duta, Kuala Lumpur.
“Rentetan itu, pasukan operasi menahan dua suspek utama iaitu seorang lelaki warganegara Myanmar dan seorang lelaki warganegara Bangladesh berusia antara 50 hingga 52 tahun yang disyaki sebagai dalang utama.
“Hasil semakan awal mendapati, suspek adalah warganegara Myanmar yang berstatus Pemastautin Tetap (PR) dan warganegara Bangladesh yang memiliki Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) bagi Sektor Perkhidmatan yang masih sah laku,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Beliau berkata, kedua-dua suspek sudah pun berkahwin dengan warganegara Malaysia.
Tambahnya, modus operandi sindiket adalah menjalankan aktiviti sebagai ejen pekerja asing bagi program RTK 2.0 dengan mensasarkan warganegara sumber seperti Bangladesh dan Indonesia.
“Sindiket ini menawarkan perkhidmatan seperti urusan pendaftaran permohonan program RTK 2.0 di Pejabat Imigresen dan dipercayai menjalankan operasi selama satu tahun. Bayaran yang dikenakan bagi setiap pekerja asing ini antara RM1,500 hingga RM2,000.
“Kedua-dua suspek ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-peraturan Imigresen 1963 dan ditahan di Depot Imigresen Putrajaya untuk tindakan lanjut,” katanya.
Ruslin berkata, JIM turut mengeluarkan notis hadir ke pejabat tiga warga tempatan masing-masing dua lelaki dan seorang wanita bagi membantu siasatan.
“JIM meneruskan tindakan tegas ke atas mana-mana pihak yang didapati melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966, Peraturan-peraturan Imigresen 1963 dan Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007 (Atipsom),” katanya.