SHAH ALAM: KK Supermart dan Superstore Sdn Bhd (KK Supermart) memfailkan saman terhadap kilang yang mengedar stoking kontroversi Allah atas dakwaan melanggar kontrak serta sabotaj pada Isnin.
Saman tersebut difailkan kedai serbaneka itu selaku plaintif menerusi firma guaman, Tetuan David Gurupatham & Koay di Mahkamah Tinggi.
Menerusi saman itu, plaintif menamakan Xin Jian Chang Sdn Bhd dan pengarahnya, Soh Chin Huat sebagai defendan, lapor Kosmo!.
Saman itu juga difailkan sehari sebelum KK Supermart didakwa di Mahkamah Sesyen atas tuduhan melukakan perasaan agama orang Islam dengan mempamerkan stoking bercetakan kalimah Allah.
Xin Jian Chang Sdn Bhd yang merupakan pembekal stoking berkenaan juga akan didakwa atas tuduhan bersubahat.
Berdasarkan tuntutan yang difailkan KK Supermart, kedai serbaneka terbabit dan kedua-dua defendan telah memasuki perjanjian pembekalan barangan ke kedai-kedai plaintif pada 1 Disember 2021.
Kemudian pada 5 Februari 2024, defendan memohon untuk membekalkan stoking tangan (arm cover) yang kemudiannya dipersetujui oleh plaintif.
Plaintif menyatakan, tiada pada bila-bila masa pihaknya membenarkan kedua-dua defendan untuk membekalkan stoking kaki di premis-premis miliknya selain plaintif juga tidak pernah memberikan kod bar bagi penjualan stoking kaki berkenaan.
Bagaimanapun, Chin Huat didakwa telah meletakkan barangan kontroversi tersebut di rak pameran di premis KK Supermart di Bandar Sunway.
Tindakan tersebut didakwa dengan sengaja dilakukan bagi mengganggu perniagaan plaintif.
Tindakan itu juga didakwa dilakukan bagi merosakkan nama baik dan reputasi plaintif dalam dunia perniagaan serta bagi memastikan usaha KK Supermart untuk menyenaraikan syarikat itu dalam Tawaran Awam Permulaan (IPO) terganggu.
Plaintif juga mendakwa tindakan tersebut telah mensabotaj perniagaannya dengan kebencian, boikot, serta ugutan sehingga terpaksa menanggung kerugian.
Justeru , plaintif antara lain menuntut ganti rugi RM1.5 juta setiap minggu sehingga tarikh penghakiman akibat kehilangan keuntungan daripada purata perniagaannya.
KK Supermart juga memohon ganti rugi akibat kerosakan nama jenama plaintif sebanyak RM10.5 juta.
Plaintif turut menuntut RM20.3 juta bagi pembatalan cadangan penyenaraian IPO di Bursa Malaysia.
Turut dimohon ialah ganti rugi teruk dan teladan yang akan ditaksirkan kemudian serta kos dan relif-relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.