CYBERJAYA: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim bertitah agar semua pihak berhenti mengambil kesempatan ke atas isu sarung kaki (stoking) tertera kalimah Allah kerana perkara itu sudah dalam proses perundangan.
Seri Paduka Baginda bertitah, adalah lebih baik untuk masyarakat mengambil iktibar daripada kejadian itu dan berusaha untuk mengeratkan lagi perpaduan.
“Saya telah menitahkan untuk tindakan diambil mengikut lunas undang-undang, maka tidak perlu lagi untuk mana-mana pihak terus mengapi-apikan kemarahan secara berterusan.
“Tindakan diambil bukanlah untuk menghukum semata-mata, tetapi sebagai pengajaran dan peringatan kepada semua untuk menjaga sensitiviti rakyat Malaysia,” titah Seri Paduka Baginda menerusi hantaran di akaun Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, hari ini.
Titah Seri Paduka Baginda lagi, kemarahan yang berlarutan tidak akan menguntungkan sesiapa. Semua pihak, terutamanya pemimpin masyarakat perlu bertindak matang.
“Ajaklah rakyat ke arah perpaduan, bukan perpecahan. Inilah peluang untuk mendapat pemahaman yang lebih baik antara satu sama lain dalam masyarakat kita yang majmuk, agar perkara sebegini tidak berulang lagi,” titah Sultan Ibrahim.
Sebelum ini video dan tangkap layar gambar stoking yang tertera kalimah Allah tular menerusi media sosial yang didakwa dijual di sebuah kedai rangkaian serbaneka sehingga menimbulkan kemarahan umat Islam.
Pada 16 Mac lalu, pengendali kedai rangkaian serbaneka itu memohon maaf susulan video tular penjualan stoking yang tertera kalimah Allah itu di cawangan Bandar Sunway, Petaling Jaya.
Semalam, Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Kumpulan KK Supermart & Superstore Sdn Bhd, Datuk Seri Dr Chai Kee Kan dan isteri, Datin Seri Loh Siew Mui mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas dua pertuduhan melukakan perasaan orang Islam dalam isu berkaitan stoking tertera kalimah Allah.
Sementara itu, pasangan suami isteri lain, Soh Chin Huat, 61, dan Goh Li Huay, 62, serta anak perempuan mereka, Soh Hui San, 36, yang juga pengarah syarikat pengedar Xin Jian Chang Sdn Bhd, turut mengaku tidak bersalah atas pertuduhan bersubahat melukakan perasaan orang Islam dalam isu berkenan pada tempat, waktu dan tarikh yang sama.