HomeBeritaJPJ perkenal eTesting bermula April depan

JPJ perkenal eTesting bermula April depan

HULU LANGAT: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Malaysia akan memperkenalkan Sistem Latihan dan Pengujian Memandu Secara Elektronik (eTesting) bermula April depan.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, pelaksanaan sistem itu membolehkan calon menjalani ujian tanpa pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di dalam kenderaan manakala prestasi calon diukur menggunakan alat pengesan dan kamera.

Menurutnya, keputusan dijana secara masa nyata itu akan meningkatkan integriti proses penilaian.

“Pilihan diberikan kepada  calon-calon,  sama ada ingin menjalani ujian biasa atau eTesting sebelum ia dilaksanakan sepenuhnya pada 2030,” katanya selepas lawatan kerja ke institut memandu di sini sempena pelaksanaan inisatif eTesting..

Loke berkata, meskipun institut memandu boleh mengenakan caj maksimum RM100, namun calon yang memilih untuk menggunakan pengujian eTesting akan menerima beberapa manfaat seperti boleh membuat percubaan kali kedua bagi setiap elemen ujian yang gagal pada hari yang sama tanpa sebarang kos tambahan.

“Calon hanya perlu membuat ujian ulangan melibatkan elemen yang gagal sahaja tanpa perlu mengulangi keseluruhan elemen ujian Bahagian II (seperti pelaksanaan ujian secara manual). 

“Manfaat lain, calon akan diberi keutamaan dalam senarai tempahan ujian dan rebat RM10 bagi pengeluaran Lesen Percubaan,” katanya lapor Bernama yang dipetik Astro Awani.

Menurutnya, pelaksanaan sistem eTesting membolehkan lebih ramai calon diuji berbanding sistem ujian sedia ada atau manual. 

Ketika ini, terdapat tiga institut memandu yang telah bersedia dengan pelaksanaan sistem eTesting iaitu Institut Memandu Surfine Hitech, Hulu Langat, Selangor; Pusat Latihan Memandu Berjaya Bhd, Ulu Tiram, Johor dan Institut Lima Bintang Abadi Sdn Bhd, Pulau Pinang.

“Kementerian Pengangkutan menggalakkan semua institut memandu menawarkan ujian memandu berasaskan eTesting. Tempoh masa selama enam tahun akan diberikan kepada institut memandu bagi peralihan pengujian kaedah manual kepada kaedah eTesting,” katanya.

Loke berkata, kerajaan bakal membenarkan institut memandu untuk membuka pusat ujian bagi mengendalikan ujian undang-undang berkomputer di premis masing-masing untuk menijmatkan masa calon ujian memandu.

Selain itu, calon juga boleh mengambil ujian undang-undang berkomputer dan ujian litar di tempat yang sama. 

“Namun, institut memandu yang berhasrat untuk membuka pusat ujian bagi mengendalikan ujian undang-undang berkomputer di premis mereka disyaratkan untuk juga menawarkan eTesting bagi ujian litar,” katanya.

Permohonan membuka Pusat Ujian KPP bagi institusi memandu adalah bermula pada April 2024. 

Justeru, institut memandu yang diluluskan diwajibkan untuk menyediakan sistem eTesting dalam tempoh satu tahun.

Author

Pilihan Editor