JOHOR BAHRU: Seorang wanita bekerja sebagai juruwang di sebuah pasar raya ditampar oleh pelanggan yang ingin memulangkan coklat, pada Sabtu.
Menerusi rakaman video kamera tertutup (CCTV), kelihatan ada pertengkaran kecil antara juruwang yang dikenali sebagai Zuriani Mahmood dengan pelanggan tersebut.
Namun selepas membuat pembayaran, pelanggan tersebut bertindak menampar juruwang berkenaan sambil diperhatikan oleh suaminya.
Menurut Zuriani, punca pelanggan tersebut bertindak sedemikian adalah kerana barang yang sudah diimbas masuk ke dalam sistem pembayaran, mengambil masa sedikit untuk dipadam.
Zuriani turut menjelaskan kepada pelanggan tersebut, proses pemadaman item itu memerlukan pengesahan daripada penyelianya.
Pelanggan itu tetap membuat pembayaran kerana enggan menunggu namun bertindak menampar juruwang kerana tidak berpuas hati terhadap layanan yang diterima.
Akibat tamparan itu, Zuriani mengalami kecederaan bengkak di bahagian bawah mata sebelah kiri.
Susulan itu, dia telah membuat laporan polis berhubung kejadian untuk siasatan lanjut.
Zuriani menerusi kenyataan di Facebook berkata, dia tidak berpuas hati terhadap tindakan biadab pelanggan tersebut kerana menjatuhkan maruahnya di hadapan pelanggan lain.
Tegasnya dalam perkongsian tersebut, dia tidak akan menarik kembali laporan polis yang dibuat dan tidak memaafkan tindakan wanita berkenaan.
“Aku tidak akan maafkan orang macam ini, sudah aku sedang mengandung, kau berani sentuh-sentuh aku.
“Aku tidak akan tarik report ini ya, aku sumpah,” tegasnya.
Tinjauan MEDIA VARIASI di ruangan komen, rata-rata netizen mengecam tindakan biadab wanita berkenaan.
“Memalukan depan anak tunjuk perangai macam itu.” @Mohamad Izwan
“Tak ada hak untuk naik tangan, ini dah cederakan orang.”@Kamarul Hafizuddin
“Takde adab betul, suka hati tampar anak orang.” @Syafa Rahman