HomeBeritaKakak bersyukur, sebahagian lagi rangka arwah Bella ditemukan

Kakak bersyukur, sebahagian lagi rangka arwah Bella ditemukan

BATU PAHAT: Kakak Bella memanjatkan rasa syukur, susulan penemuan sebahagian lagi rangka milik arwah adiknya.

“(Sebanyak) 90 peratus rangka ditemukan dipercayai milik Bella, mohon doakan supaya anggota lain dijumpai,” kata kakak kepada arwah Bella, Norhisham Samsusah, 36.

Menurut Norhisham atau lebih mesra panggilan Ayu, dia baru sahaja dimaklumkan mengenai penemuan rangka itu oleh polis.

Ayu dimaklumkan sebahagian rangka itu ditemukan tidak jauh dari lokasi penemuan rangka Bella atau Mila Sharmila, 32, di dalam rumah sewa terbengkalai di Kampung Batu 7, Tongkang Pechah.

“Kami bersyukur kerana hasrat mencari sebahagian rangka itu ditemui. Kami sangat berharap kesemuanya akan ditemukan sekali gus membuatkan kami tenang,” katanya, lapor Berita Harian.

Terdahulu, iaitu pada tangga 26 Januari, hari kedua hari selepas pengebumian Bella, kakaknya tidak dapat menerima hakikat apabila mendapati jasad adik tersayangnya tanpa kedua-dua tangan dan kaki.

Kejadian itu disedari ketika Ayu dan ibunya, Noraini Salleh, 55, memandikan rangka tidak sempurna itu di Hospital Sultan Ismail, Johor Bahru, selepas ujian DNA (asid deoksiribonukleik) mengesahkan ia adalah Bella.

Menerusi perkongsian di Facebook, Ayu memberitahu mereka sekeluarga terkejut apabila melihat keadaan rangka Bella ketika dimandikan.

Difahamkan, tengkorak adiknya pecah disyaki dihentak objek tumpul, selain hanya tinggal sebahagian anggota hingga paras pinggul.

Susulan itu, keluarga arwah Bella memaklumkan mereka sudah membuat surat permohonan kepada polis untuk mencari sebahagian rangka yang belum ditemukan.

Untuk rekod, pada 19 Januari lalu, penemuan rangka manusia tidak sempurna di dalam sebuah rumah terbengkalai di Tongkang Pecah sekali gus merungkai misteri kehilangan Bella sejak 14 Disember tahun lalu.

Kronologinya, Bella dilaporkan hilang selepas keluar bersama teman lelakinya.

Namun, selepas 36 hari kehilangannya, rangka mangsa ditemukan susulan penahanan teman lelaki Bella, Mohammad Haikal Mahfuz, 24, sejurus lelaki itu tiba di tanah air selepas menunaikan umrah.

Lelaki itu yang juga bekas posmen kemudiannya didakwa di Mahkamah Majistret Batu Pahat pada 24 Januari lalu mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Author

Pilihan Editor