HomeBeritaKPM tangani isu kepadatan murid SK Cyberjaya

KPM tangani isu kepadatan murid SK Cyberjaya

CYBERJAYA: Kementerian Pendidikan (KPM) akan melaksanakan penyuraian murid di Sekolah Kebangsaan (SK) Cyberjaya ke beberapa buah sekolah berhampiran dan SK Cyberjaya (2) yang dijangka siap sepenuhnya pada 2028.

KPM dalam kenyataan pada Khamis memaklumkan, langkah itu dibuat bagi menangani masalah kepadatan murid di sekolah tersebut ketika ini.

Sebagai penyelesaian jangka panjang, KPM memaklumkan, SK Cyberjaya (2) yang dibida dalam Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) Rolling Plan 3 (RP3) telah mendapat kelulusan dan kini berada dalam proses perolehan.

“Sekolah baharu ini bakal dilengkapi dengan 36 bilik darjah dan kemudahan lain mengikut konsep reka dan bina bagi mempercepatkan proses pembinaan,” menurut KPM.

KPM juga akan memberi kelulusan pembinaan kabin 12 buah bilik darjah tambahan sebagai penyelesaian jangka pendek yang sedang dilaksanakan.

Menurut kenyataan sama, KPM juga mempunyai perancangan masa hadapan bagi mengatasi isu kepadatan murid di Cyberjaya.

Ini termasuk menerusi pembinaan sekolah menengah baharu iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Cyberjaya (2) yang akan dimohon dalam RMK13 RP1 Tahun 2026, pada tahun ini.

Tambahnya, perolehan tanah bagi pembinaan SK Cyberjaya (3) pula akan dimohon dalam RMK13 RP2 Tahun 2027, pada 2025.

Pada sesi pembukaan sekolah minggu ini, terdapat banyak rungutan dalam kalangan ibu bapa, yang mendakwa bilangan murid terlalu ramai dalam sesebuah kelas.

Bahkan, timbul dakwaan bahawa, terdapat kelas yang mempunyai lebih 50 murid dengan berbelas kelas diwujudkan bagi setiap darjah. 

Author

Pilihan Editor