JOHOR BAHRU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Johor menyita sebanyak 33,890 unit bahan bakeri dan plastik pembungkusan disyaki menggunakan logol halal tidak sah, di sebuah premis dan stor membuat bahan bakeri pada Selasa.
Pengarahnya, Lilis Saslinda Pornomo berkata, tindakan itu dibuat selepas pihaknya menjalankan Operasi Bersepadu Penguatkuasaan Halal di Bandar Seri Alam, dekat Masai, di sini.
“Turut disita beberapa dokumen yang disyaki menggunakan logo halal yang tidak diperakui oleh badan yang bertanggungjawab.
“Nilai semua barang rampasan dianggarkan berjumlah RM23,035.20,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Menurutnya, operasi membabitkan enam pegawai dan anggota penguat kuasa KPDN Johor bersama pegawai Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) itu dijalankan, susulan aduan awam berkenaan penggunaan logo halal tidak sah pada produk yang dibungkus oleh sebuah syarikat.
“Hasil pemeriksaan, tindakan kes diambil di bawah Akta Perihal Dagangan, Perenggan 8(b) Perintah Perihal Dagangan (Perakuan Dan Penandaan Halal) 2011,” katanya.
Lilis Saslinda berkata, pihaknya sentiasa menjalankan operasi bersepadu dengan pelbagai agensi untuk memastikan operasi perniagaan berjalan dengan cara yang dibenarkan, manakala pengguna boleh mendapatkan barangan serta perkhidmatan tanpa rasa was-was terutamanya berhubung dengan isu halal.
Katanya, pengguna boleh menyalurkan maklumat atau aduan kepada pihak KPDN melalui Pusat Panggilan 1800-886-800; Pusat Arahan Penguat Kuasa (ECC) di talian 03-8882 6245/6088; Whatsapp KPDN, 019-279 4317; emel e-aduan@kpdn.gov.my; aplikasi telefon pintar Ez ADU atau lapor ke mana-mana lapan Pejabat KPDN di seluruh negeri ini.