HomeBeritaLincah buat aksi 'zig-zag', 6 penunggang motosikal ditahan

Lincah buat aksi ‘zig-zag’, 6 penunggang motosikal ditahan

BATU PAHAT: Seramai enam penunggang motosikal ditahan selepas dikesan melakukan aksi meniarap dan ‘zig-zag’ di Kilometer (KM) 19, Jalan Kluang-Batu Pahat di sini pada Ahad.

Menurut kenyataan Bahagian Siasatan Jenayah Trafik (BSPTD) Batu Pahat, aksi tersebut membahayakan penunggang terbabit dan pengguna jalan raya lain.

Dalam kenyataan sama, BSPTD Batu Pahat memaklumkan bahawa, pihaknya kerap menerima aduan samseng jalanan, yang mana berlaku aktiviti berlumba di kawasan tersebut.

“Penahanan semua penunggang itu dibuat oleh seorang pegawai dan lima anggota BSPTD Batu Pahat menerusi Op Samseng Jalanan,” katanya pada Ahad malam.

Enam penunggang motosikal ditahan dalam Op Samseng Jalanan pada Ahad. – FB BSPTD Batu Pahat

Menurutnya, kesemua penunggang tersebut ditahan Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan jika sabit kesalahan boleh membawa hukuman penjara tidak melebihi lima tahun dan denda tidak kurang daripada RM5,000 dan tidak lebih daripada RM15,000.

Katanya, kesemua penunggang kemudian dibawa ke BSPTD Batu Pahat, sebelum menjalani ujian air kencing dan dimasukkan ke lokap Balai Polis Batu Pahat untuk tindakan selanjutnya.

“Ibu bapa atau penjaga dinasihatkan untuk memantau pergerakan anak-anak terutama pada sebelah malam bagi mengelakkan mereka terjebak dengan kegiatan tidak sihat ini,” katanya.

Author

Pilihan Editor