HomeBerita‘Mana solusi jangka pendek isu kelas sesak?’

‘Mana solusi jangka pendek isu kelas sesak?’

CYBERJAYA: Pakar pendidikan, Dr Anuar Ahmad meluahkan rasa kesal dengan tindakan segelintir pihak, yang dilihat masih bertelagah berhubung pembukaan kantin sekolah pada bulan Ramadan.

Pensyarah Kanan Pusat Kajian Kepelbagaian Pendidikan, Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu berkata, perkara tersebut masih dianggap masalah utama dalam pendidikan di negara ini, malahan ada yang sanggup membuat sindiran terhadap satu sama lain.

“Bukan tahun ini sahaja, tahun lepas pun sama.

“Sampai habis bulan puasa tahun lepas, tiba pula puasa tahun ini, kita masih bincang lagi. Nak buka ke nak tutup kantin?” katanya menerusi hantaran di laman Facebook pada Khamis.

Isnin lalu, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek memberitahu, pengurusan sekolah akan tetap meneruskan operasi kantin masing-masing seperti biasa pada bulan Ramadan.

Keputusan itu bagaimanapun dilihat mendapat pertelagahan segelintir pihak yang kurang bersetuju dan menganggap ia akan mencetuskan polemik dalam kalangan masyarakat.

Tidak mahu membesarkan perkara tersebut, Anuar sebaliknya menegaskan bahawa, terdapat banyak lagi hal penting berkaitan pendidikan yang tidak dibincangkan secara serius termasuk isu kelas sesak.

“Tak ada pula kita dengar apakah solusi jangka pendek yang akan diambil untuk selesaikan isu kelas sesak murid?

“Solusi jangka panjang kita memang dah tahu, ‘kita akan bina sekolah baru’.

“Ironi, bila isu buka tutup kantin pula yang jadi masalah besar pada pendidikan negara. Mengapa akal budi kita boleh jadi begini?” soalnya.

Pada sesi pembukaan sekolah Ahad lalu, terdapat banyak rungutan dalam kalangan ibu bapa, yang mendakwa bilangan murid terlalu ramai dalam sesebuah kelas.

Bahkan, timbul dakwaan bahawa, terdapat kelas yang mempunyai lebih 50 murid dengan berbelas kelas diwujudkan bagi setiap darjah dan tingkatan.

Anuar Ahmad

Mengulas lanjut, Anuar yang juga Setiausaha Kluster Pendidikan dan Pembangunan Modal Insan Majlis Profesor Negara berkata, situasi kelas sesak mengakibatkan sesi Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) yang menjadi ‘nadi pendidikan’ akan teruk terjejas.

Jelasnya, tujuan utama ibu bapa menghantar anak-anak ke sekolah adalah untuk belajar, yang mana mereka sepatutnya ditempatkan di dalam kelas yang selesa dan kondusif.

“Bagaimana anak-anak kita akan belajar dengan selesa dan kondusif kalau mereka disumbat dalam kelas 50 orang murid?

“Kalau kelas sesak, rimas, panas dan bising, bagaimana anak-anak kecil ini dapat belajar dengan berkesan?

“Kalau pembelajaran anak-anak sudah tidak berkesan, bukankah itu tandanya fungsi sekolah telah gagal?” soalnya lagi.

Bukan itu sahaja, Anuar juga menyatakan kebimbangan bahawa, situasi kelas sesak akan memberi kesan terhadap kemahiran murid dalam membaca, menulis, mengira (3M).

Beliau turut khuathir situasi tersebut akan menjejaskan motivasi murid-murid untuk belajar dengan aktif dan gembira.

“Bayangkan pula kesan jangka panjang terhadap kemahiran 3M dan pencapaian pembelajaran anak-anak kita akibat kelas yang sesak ini?

“Hal yang lebih serius, isu kelas sesak mana solusinya? Kesian anak-anak dalam kelas yang sesak. Panas, rimas, sesak dan bising,” katanya.

Tidak hanya memberi kesan kepada murid-murid, Anuar berkata, para guru juga mungkin tidak dapat mengajar dengan selesa dan berkesan di dalam kelas yang menempatkan bilangan murid ramai.

“Kasihanlah pada cikgu yang uruskan murid-murid dalam kelas sesak.

“Mana nak kawal kelas, mana nak mengajar lagi, mana nak uruskan kanak-kanak yang berbagai ragam,” tambahnya.

Author

Pilihan Editor