CYBERJAYA: MIC menggesa mendesak kerajaan untuk melucutkan kewarganegaraan N. Ganesparan, selepas didakwa menghina agama Islam, Sultan Selangor dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Ketua Penerangannya, R. Thinalan menyifatkan bahawa, individu itu tidak lagi setia kepada negara melalui tindakan atau percakapannya, seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan.
“Individu seperti N. Ganesparan adalah ancaman kepada perpaduan dan keharmonian negara, yang boleh menyebabkan kegusaran awam.
“Malah, dia juga membangkitkan sensitiviti agama yang boleh menyebabkan pergolakan serta perpecahan kaum dan bangsa.
“Maka, MIC menggesa agar tindakan segera diambil oleh kerajaan agar anasir tidak setia kepada negara sebegini dibendung dari terus mengancam dan mencemari keharmonian rakyat dan negara kita,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Pada 23 Mac lalu, indvidu tersebut telah memuat naik sebuah video ke media sosial yang antara lain mendakwa, polis pantas mengambil tindakan terhadap rakyat berbangsa Cina yang menghina Islam, namun tindakan sama tidak diambil terhadap beberapa individu lain yang didakwanya menghina agama bukan Islam.
Pada Rabu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, siasatan terhadap Ganesparan dibuat mengikut Seksyen 298A dan Seksyen 504 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Menurutnya, video itu dirakam di luar negara, memandangkan lelaki terbabit telah meninggalkan negara sejak 2018 dan kini dipercayai berada di sebuah negara di Eropah.
Shuhaily berkata, ini bukan kali pertama tindakan individu itu melibatkan isu sensitif seperti institusi beraja, agama dan politik, yang mana 22 kes telah dibuka dari 2018 hingga Selasa.