JASIN: Seorang penuntut Kolej Komuniti Jasin maut selepas motosikal ditungganginya terbabas di Jalan Kampung Sebatu, Sungai Rambai, awal pagi tadi.
Kejadian dipercayai berlaku sekitarĀ jam 4.50 pagi ketika pelajar semester 1 berkenaan dalam perjalanan pulang ke rumah sewanya di Merlimau selepas bersahur di sebuah gerai bersama seorang rakan.
Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintenden Ahmad Jamil Radzi berkata, siasatan awal mendapati ketika kejadian mangsa, Ibrahim Mohd Adham, 19, yang menunggang motosikal Yamaha Lagenda 115Z dari arah Sungai Rambai menghala ke Merlimau.
Menurutnya,Ā rakan mangsa yang juga ketika itu menunggang motosikal berasinganĀ tidak perasan kemalangan itu kerana berada jauh di hadapan mangsa.
āSemasa sampai di lokasi kemalangan mangsa dipercayai gagal mengawal motosikalnya lalu terbabas dan tercampak beberapa meter ke tepi jalan.
āAkibatnya mangsa mengalami kecederaan parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh kakitangan perubatan.
āMayatnya dihantar ke Hospital Jasin untuk dibedah siasat,ā katanya lapor Buletin TV3.
Menurut Ahmad Jamil, sewaktu kejadian mangsa yang berasal dari Bangi, Selangor menunggang motosikal dipinjam daripada rakan.
āSiasatan lanjut masih dijalankan bagi mengetahui punca sebenar kemalangan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,ā katanya.