CYBERJAYA: Seorang penjual ketam yang dipercayai menghina Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail ditahan reman selama tiga hari mulai Khamis.
Menurut Ketua Polis Daerah Kangar, Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd Yusop, perintah reman terhadap lelaki berusia 41 tahun itu dikeluarkan oleh Majistret Ana Rozana Mohd Nor dari Mahkamah Majistret Kangar.
Beliau berkata, pihak polis menerima laporan daripada seorang lelaki berusia 37 tahun pada Rabu.
Susulan itu, katanya, suspek ditahan oleh pasukan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) D9 Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis di Taman Akasia 2, dekat Changlun, Kedah pada jam 1.30 pagi Khamis.
“Pengadu telah melayari Facebook dan telah melihat satu hantaran mengenai penghinaan ke atas Raja Perlis menggunakan akaun Facebook.
“Kes ini akan disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Sementara itu, beliau berkata, polis turut menerima laporan berhubung perbuatan khianat iaitu kejadian menyimbah cat berwarna merah terhadap sepanduk tertera gambar Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail Selasa lepas.
“Untuk kes simbah cat ini akan disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan,” katanya.