CYBERJAYA: Semua lorong masuk dan keluar di plaza tol akan beroperasi sepenuhnya sepanjang Ramadan yang dijangka tiba pada minggu depan.
PLUS Malaysia Berhad (PLUS) memaklumkan, perkara itu merupakan antara langkah proaktif untuk memastikan kelancaran operasi lebuh raya dan plaza tol, terutamanya ketika waktu puncak pada bulan mulia tersebut.
Menurut syarikat konsesi lebuh raya itu, alat bantuan mudah alih pembaca pembayaran tol dan alat bantuan sokongan di plaza tol kendaliannya turut akan disediakan.
“Di samping itu, semua kerja penyelenggaraan di plaza tol ditamatkan sebelum jam 4.30 petang bagi mengelakkan sebarang gangguan kelancaran.
“PLUS juga akan menambah jumlah kakitangan barisan hadapan di plaza tol serta menugaskan pasukan bantuan teknikal di plaza tol dalam keadaan bersiap sedia,” katanya dalam kenyataan.
Selain itu, PLUS akan memastikan semua kemudahan awam di kawasan rehat dan rawat (R&R) beroperasi sepenuhnya.
Katanya, perkara itu penting untuk menampung keperluan yang tinggi semasa waktu puncak dan memudahkan aktiviti berbuka puasa sepanjang Ramadan ini.
Sehubungan itu, PLUS mengingatkan pengguna lebuh raya supaya memastikan kad Touch ‘n Go atau e-Wallet (bagi mereka yang menggunakan RFID) sentiasa mempunyai baki mencukupi sebelum memulakan perjalanan.
Katanya, ia bertujuan mengelak kesulitan dan melancarkan perjalanan pengguna lain ketika melalui plaza tol untuk pulang berbuka di rumah.
Berdasarkan data serta pola pergerakan trafik Ramadan yang lalu, PLUS menjangkakan waktu puncak pulang bekerja adalah di antara jam 5 hingga 6 petang, apabila jumlah kenderaan akan berada pada tahap tertinggi pada setiap hari bekerja.
Justeru, PLUS menyarankan semua pengguna lebuh raya supaya merancang perjalanan mereka dan mengelak daripada bergerak pada waktu puncak untuk lebih keselesaan.
Pengguna lebuh raya juga digalakkan supaya memuat turun Aplikasi PLUS bagi memudahkan mereka merancang perjalanan dan mendapatkan maklumat trafik terkini di lebuh raya.
Secara alternatif, pengguna juga boleh mengikuti laporan trafik terkini menerusi Aplikasi X @PLUSTrafik, Chatbot PUTRI, saluran radio utama negara serta papan tanda elektronik (VMS) di lokasi terpilih atau menghubungi PLUSLine di 1800-88-0000 untuk bantuan semasa kecemasan, serta menggunakan Aplikasi Waze atau Google Maps untuk mendapatkan pelan perjalanan dengan lebih baik.