HomeBeritaPolis buru 3 lelaki sebar kad pinjaman wang, judi online di bazar...

Polis buru 3 lelaki sebar kad pinjaman wang, judi online di bazar Ramadan

CYBERJAYA: Seramai tiga lelaki sedang dalam buruan pihak polis, selepas disyaki menjalankan kegiatan menyebar kad perniagaan pinjaman wang tanpa lesen dan judi dalam talian di sekitar bazar Ramadan dekat Stadium Perak, di Ipoh, Perak.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Yusri Hassan Basri berkata, kegiatan lelaki terbabit telah dirakam oleh seorang daripada peniaga di bazar berkenaan yang dimuat naik di media sosial.

Beliau berkata, hasil siasatan mendapati, tiga lelaki terbabit telah menjalankan kegiatan menyebar kad perniagaan wang tanpa lesen dan judi dalam talian sejak tiga hari lepas.

“Rakaman berdurasi 1.01 minit itu menunjukkan seorang lelaki menyebarkan kad perniagaan pinjaman wang tanpa lesen dan judi dalam talian di setiap gerai di bazar Ramadan di Stadium Perak,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Beliau berkata, satu temu bual telah diadakan dengan peniaga berkenaan, manakala butiran kejadian sudah diperoleh serta usaha mengesan suspek sedang dijalankan.

“Tiada laporan polis diterima dari mana-mana pihak setakat ini. Tindakan masih diteruskan,” katanya.

Sejak Sabtu, tular satu video di laman Facebook milik Oppa Zuzu Kitchen dipercayai seorang daripada peniaga di bazar berkenaan, memaparkan kegiatan lelaki yang menyebarkan kad pinjaman tanpa lesen dan judi dalam talian.

 

Author

Pilihan Editor