HomeBeritaPolis siasat 2 anggota polis trafik peras ugut warga Singapura

Polis siasat 2 anggota polis trafik peras ugut warga Singapura

JOHOR BAHRU: Polis sedang menjalankan siasatan berhubung dua anggota polis trafik, yang dipercayai melakukan pemerasan ke atas warga Singapura di Bangunan Sultan Iskandar (BSI), di sini, pada 10 Mac lalu.

Ketua Polis Johor, Komisioner M Kumar berkata, video berkenaan telah dimuat naik di laman Facebook Sage dan Irene Teo pada 13 Mac lalu.

Selain itu, beliau berkata, hantaran video tersebut turut diulas melalui artikel yang dimuat naik oleh laman sesawang Mothership pada 11 Mac lalu.

Kumar berkata, melalui hantaran tular, penama Irene Teo dipercayai telah diarahkan untuk membayar wang sejumlah S$142 (RM499.40) kepada kedua-kedua anggota polis trafik tersebut sekitar jam 8.15 malam pada 10 Mac lalu.

“Arahan tersebut dibuat bagi mengelakkan tindakan saman atas kesalahan masuk ke laluan lori di kawasan Checkpoint 8A arah Johor Bahru ke Singapura,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Justeru, beliau berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan iaitu pemerasan, manakala sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat, atau mana-mana dua daripada hukuman terbabit.

Setakat ini, pihak polis masih belum menerima sebarang laporan dibuat oleh mangsa berhubung insiden tersebut.

“Permohonan rasmi dibuat ke Pejabat Konsulat Singapura di Johor Bahru untuk bantuan mengesan pemilik Facebook Sage dan penama Irene Teo bagi membantu siasatan,” katanya.

Jelasnya, polis kontinjen Johor komited dalam usaha untuk memerangi masalah integriti serta salah laku jenayah dalam kalangan pegawainya, demi meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap pasukan Polis Diraja Malaysia.

Katanya, mana-mana pegawai yang dipercayai melakukan jenayah akan diambil tindakan tegas tanpa kompromi berlandaskan prinsip kesamarataan di sisi undang-undang, mengikut Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian tersebut boleh menghubungi terus talian hotline Ibu Pejabat Daerah Johor Bahru Selatan di 07-2182323 atau hubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Suhana Abdullah Sadali di talian  019-8853599 dan Inspektor Nizam Ramon di 011-16086119,” katanya.

 

Author

Pilihan Editor