HomeBeritaMahkamah & JenayahPolis tembak mati 5 penyamun bersenjata api di Putra Heights

Polis tembak mati 5 penyamun bersenjata api di Putra Heights

SUBANG JAYA: Polis menembak mati lima penjenayah yang disyaki aktif dalam lebih 50 kejadian samun bersenjata api di sekitar Lembah Klang, sejak dua tahun lalu.

Suspek berusia antara 25 hingga 30 tahun yang menaiki sebuah Perodua Axia, dikesan dalam keadaan mencurigakan oleh sepasukan polis.

Kejadian tersebut berjaya dikesan ketika pihak polis melakukan rondaan cegah jenayah di Persiaran Harmoni, Putra Heights di sini, 11.30 malam tadi.

Difahamkan suspek telah memecut kereta dengan laju dan melepaskan tembakan ke arah polis ketika diarahkan berhenti bagi tujuan pemeriksaan.

Pasukan polis terdiri daripada pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman bersama JSJ Kontinjen Selangor dan Kuala Lumpur, cuba mengepung kereta sebelum suspek merempuh bahagian belakang kenderaan polis.

Menurut laporan Harian Metro, suspek berterusan melepaskan tembakan menyebabkan anggota polis turut melepaskan tembakan balas ke arah suspek demi mempertahankan diri.

Hasil pemeriksaan mendapati suspek mati di tempat kejadian dan polis turut menemukan dan merampas dua senjata api digunakan suspek bersama senjata lain.

Semua suspek dilaporkan memiliki rekod dikehendaki pihak polis atas kejadian samun bersenjata api dan rekod jenayah lampau.

“Suspek dilaporkan aktif menyamun wang tunai dari van syarikat penghantaran, kilang dan rumah individu yang menyimpan wang tunai dan barang kemas di sekitar Shah Alam, Puchong, Klang, Subang Jaya, Kajang dan Sentul.

“Suspek juga turut didapati mencederakan mangsa yang cuba melawan mereka,” katanya.

Polis turut meyakini kesemua suspek mempunyai perancangan untuk melakukan jenayah samun bersenjata api ketika ditahan.

Author

Pilihan Editor