HomeRamadan gamit rindu perantau akan kampung halaman

Ramadan gamit rindu perantau akan kampung halaman

PERASAAN rindu terhadap kampung halaman, lebih-lebih ketika bulan Ramadan sudah sinonim dengan kehidupan anak perantau.

Namun, perkara itu perlu ditempuh demi melunaskan tanggungjawab terhadap keluarga dan kerjaya meskipun terpaksa berdepan dengan pelbagai ujian.

Memulakan kariernya sebagai pengurus jualan wilayah di sebuah syarikat Jerman yang terletak di Malaysia, Salina Mustapha memaklumkan bahawa dia kerap menerima tawaran untuk melakukan lawatan kerja di Eropah.

Salina (kiri) dan suaminya, Ronald sudah menetap di Belanda selama lapan tahun.

Sambil memfokuskan kerjayanya, anak jati Malaysia berusia 57 tahun itu kemudian bertemu jodohnya yang dikenali sebagai Ronald sebelum memutuskan untuk berhijrah ke Belanda.

Pada awal perkahwinannya, Salina menukar kerjayanya dalam bidang logistik sebelum menukar fikiran untuk memberi fokus kepada keluarga serta aktif sebagai aktivis badan bukan kerajaan (NGO), Persatuan Belanda Malaysia.

Setelah menetap di luar negara pada tempoh kira-kira lapan tahun, Salina mengakui bahawa pengalaman berpuasa di negara empat musim adalah sangat menguji ketahanan mental dan keutuhan iman dalam dirinya.

“Secara realitinya, menginap di negara orang tiada siapa yang ambil peduli. Puasa atau tidak hanyalah antara diri sendiri dengan sang Pencipta.

“Ditambah pula jika Ramadan jatuh ketika saat beralih musim sehingga tempoh berpuasa menjangkau 12 jam.

“Diet makanan perlu dijaga untuk bekalan tenaga sehingga jam 10 malam waktu berbuka puasa,” katanya kepada MEDIA VARIASI.

Salina

Menurut ibu kepada dua anak itu, sambutan Ramadan di Belanda pada kali ini adalah seperti biasa dan tiada perubahan tempoh masa, namun juadah berbuka puasa tidak tersedia sama seperti di negara ini.

Salina (kanan) mempelajari masakan sendiri, sekiranya juadah yang diingini tidak terdapat di Belanda.

Wanita itu berkata, dia terpaksa mempelajari sesuatu masakan sekiranya teringin juadah sama seperti bazar Ramadan di Malaysia.

“Nak ke restoran memang juadah tersebut tak dijual. Kami solat tarawih hanya di rumah manakala baju raya pula terpaksa ‘recycle‘ (guna semula) apa yang ada.

“Nak nampak ‘fresh‘ (seperti baju baharu) dan tambah seri, saya jahit manik pada baju.

“Betullah kata peribahasa, ‘hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, lebih baik di negeri sendiri’,” katanya.

Tambah Salina, dia terpaksa mengambil tempoh perjalanan selama berjam-jam lamanya untuk menuju ke bangunan kedutaan Malaysia.

Di sana, katanya, dia berpeluang berkumpul bersama-sama saudara senegara bagi menikmati juadah berbuka puasa, solat tarawih dan solat sunat raya.

Salina (kiri) menyambut ketibaan sahabat handainya dari Persatuan Belanda Malaysia di kediamannya.

Pada masa sama, wanita itu berkongsi bahawa, adakalanya sahabat handai dari Persatuan Belanda Malaysia berkumpul di kediamannya untuk bagi melepaskan rindu suasana Ramadan bersama ahli keluarga.

“Kesulitan sebegini nampak remeh, namun memberi impak kepada kita sama ada akur, reda dan terus berpegang kepada ajaran agama atau ambil mudah dan mulai culas mengerjakannya (ibadah puasa).

“Sebak hati terkenangkan momen indah dulu-dulu. Tak sah kalau tak ‘bercekau’ di dapur tatkala menyiapkan juadah berbuka.

“Tak terkecuali momen zaman kanak-kanak. Arwah abah selalu berpesan untuk berhias dan masak juadah istimewa sempena menyambut Ramadan. Kata arwah, nanti roh arwah atuk nak balik tengok anak cucu,” katanya.

Salina (baju hijau) menyambut kehadiran tetamu bagi menyambut Ramadan di kediamannya.

Salina juga sempat menitip pesanan kepada anak tempatan yang mengimpikan untuk menetap di luar negara untuk memastikan niat yang jelas dan memiliki kekuatan mental.

Apatah lagi, katanya, kerinduan bulan Ramadan di negara sendiri sememangnya pahit untuk ditelan ditambah pula ketika mendengar laungan takbir raya dan panggilan video bersama keluarga.

“Tak sah kalau tidak menitiskan air mata.

“Saya hanya akan pulang ke Malaysia pada selang setahun dan sekiranya ada urusan penting,” katanya.

Author

Pilihan Editor