HomeBeritaViralSelamba parkir sesuka hati, habis Perodua Axia 'dikerjakan'

Selamba parkir sesuka hati, habis Perodua Axia ‘dikerjakan’

SIKAP segelintir pemandu yang mementingkan diri sendiri adakalanya menyusahkan pengguna jalan raya lain.

Masakan tidak, ada di antaranya yang sewenang-wenangnya meletakkan kenderaan di lokasi laluan kenderaan dan orang awam.

Baru-baru ini, seorang pemandu kereta Perodua Axia bertindak meletakkan kenderaannya di persimpangan jalan raya berhampiran laluan pejalan kaki.

Keadaan itu seterusnya menyukarkan laluan bas Rapid KL yang ingin membelok ke simpang tersebut.

Namun, orang ramai yang prihatin dengan perkara itu bertindak menghulurkan bantuan bagi memudahkan laluan bas berkenaan.

Menerusi video tular di media sosial, seramai tujuh lelaki dilihat menggunakan tenaga masing-masing untuk mengalihkan Perodua Axia seberat kira-kira 890 kilogram (kg) itu ke tepi jalan.

Usaha keras kumpulan itu akhirnya membuahkan hasil apabila bas berkenaan akhirnya berjaya melalui persimpangan tersebut tanpa dihalang kereta berkenaan.

MEDIA VARIASI masih belum dapat memastikan masa sebenar kejadian, namun difahamkan ia berlaku di pekan Sungai Besi di ibu negara.

Meninjau ke ruangan komen, rata-rata netizen meluahkan perasaan tidak berpuas hati ke atas pemilik kereta berkenaan dan menggesa pihak berkuasa tempatan (PBT), untuk melakukan pemantauan serta mengambil tindakan.

Tulis @MBedski: “Majlis patutnya tow je kereta-kereta yang park jenis tak fikir orang macam ini. Alasan dorang, ala park sekejap je.

“Biar dia kena kompaun RM200 untuk claim kereta semula. Dah sekali kena, confirm terus taubat. Saman tiket ni tak jalan, dorang ‘bakulsampahkan’ aje. Towing lagi efektif.”

Tambah @leeslimshady: “@DBKL2u sepatutnya mesti menjalankan operasi menunda kenderaan yang diletakkan di pinggir jalan Suasa 5 Sungai Besi ini. Takkan DBKL tak tahu pasar Sungai Besi ni sudahlah sesak, kenderaan yang diletakkan di kawasan sekitar mesti ditunda.”

@BobYusri3 berkata: “Tak ada hati perut betul.Main park sesuka hati je. Dah menyusahkan orang. Elok bas tu lentung je terus. Bagi peringatan sikit supaya jangan park sesuka hati. Tak ada sivik punya orang.”

Setakat berita ini ditulis, belum ada sebarang kenyataan rasmi daripada pihak PBT berhubung perkara tersebut.

 

 

Author

Pilihan Editor