Oleh: Norita Mustapha
MELAKA: Aktiviti berkumpul bersama ahli keluarga dan sahabat handai ibarat menjadi tradisi buat masyarakat Islam di negara ini menjelang ketibaan bulan Ramadan.
Masakan tidak, ia dilihat sebagai satu kesempatan buat mereka untuk mengeratkan hubungan silaturahim, selain memohon maaf antara satu sama lain dengan harapan dapat melakukan ibadah dengan tenang pada bulan mulia tersebut.
Ini seperti yang dilakukan oleh sekumpulan individu yang aktif dalam aktiviti perkhemahan menggunakan kenderaan rekreasi, campervan.
Kumpulan tersebut yang dikenali sebagai geng ‘Camper Old Skool’ Southern VOC (SVOC) terlibat sama dalam Pesta Camp Meet Klasik era 60-an, di Ba Na Na Garden dekat Asahan, di sini baru-baru ini.
Lokasi itu menjadi pilihan kerana kedudukan strategik yang terletak di titik pertemuan tiga negeri iaitu Melaka, Johor dan Negeri Sembilan.
Kedudukan tapak perkhemahan yang terletak di kaki Gunung Ledang, bersebelahan dengan Laman Tiga Budaya dan laluan masuk ke Asahan, Melaka itu seterusnya mendapat perhatian Tourism Malaysia Wilayah Selatan.
Turut hadir menyertai aktiviti perkhemahan itu adalah Pengarah Tourism Malaysia Wilayah Selatan, Muhammad Nasir Pahmi dan kakitangan bertugas.
Muhammad Nasir juga sempat meluangkan masa memberi sokongan dan beramah mesra bersama para peserta, pengusaha tapak perkhemahan serta penduduk kampung.
Menurut pengusaha tapak perkhemahan itu yang hanya dikenali sebagai CO Jamal, keunikan koordinat lokasi tersebut wajar diuar-uarkan kepada para pelancong di dalam dan luar negara.
“Ini penting supaya mereka dapat merasai nikmat keindahan pemandangan Gunung Ledang di sebalik kabus pagi, selain self healing menerusi suasana berkhemah di kaki gunung yang sejuk dan menyegarkan.
“Insya-Allah, kami akan menyokong kerjasama yang memberi manfaat kepada alam dan warga Asahan,” katanya.
SVOC ditubuhkan pada tahun 2019 bertujuan menghargai van lama yang semakin antik atau campervan, menyatukan komuniti Nissan Vannette, mengeratkan hubungan silaturahim dan berkongsi ilmu berkaitan kenderaan, mengadakan aktiviti tea & talk serta bermalam di tapak perkhemahan di seluruh Asia.
“Nikmat campervan adalah apabila keadaan van yang kita pandu tiba-tiba tersadai rosak dan di situlah bahagianya muncul.
“Daripada situ, kita dapat mengenali erti kesabaran, kesyukuran dan persahabatan susah dan senang,” kata penggerak SVOC yang hanya dikenali sebagai Rosli ketika ditanya sebab pemilihan aktiviti campervan.
Penganjur Pesta Camp Meet Klasik, backtonature.asia turut mengambil peluang memperkenalkan aktiviti sukan rakyat secara santai bersama anak-anak peserta perkhemahan.
Aktiviti perkhemahan bukan sekadar bertujuan untuk penyembuhan diri daripada stres atau self healing dengan menikmati keindahan alam sekitar, namun ia sebaliknya lebih tertumpu kepada nikmat kehidupan bersederhana kepada anak-anak sebagaimana orang dahulu dibesarkan pada era tahun 70-an dan 80-an.
Backtonature.asia yang dipimpin oleh pempengaruh dikenali Sir Li berharap agar lebih banyak aktiviti dilaksanakan bersama kumpulan individu yang mengadakan aktiviti berkhemah, badan korporat, badan bukan kerajaan (NGO) dan agensi kerajaan dapat dilaksanakan.
“Usaha murni sebegini tidak hanya tertumpu kepada hubungan manusia dan alam, tetapi juga hubungan kekeluargaan, menikmati hidup tanpa gajet serta kesedaran menjaga alam yang dianugerahkan Allah SWT untuk generasi akan datang,” katanya.
Ketika ini, backtonature.asia sudah melakukan kerjasama dengan Tegudon Tourism Village Campsite di Sabah dan mengidamkan jenama itu agar lebih dikenali di peringkat antarabangsa.