CYBERJAYA: Presiden Pejuang, Datuk Seri Mukhriz Mahathir mengesahkan bahawa, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang melakukan siasatan terhadap bapanya, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Menurut Mukhriz, SPRM sudah pun menghantar notis yang ditandatangani oleh Ketua Pesuruhjaya agensi tersebut, Tan Sri Azam Baki kepada abang-abangnya, Tan Sri Mokhzani Mahathir dan Mirzan Mahathir.
“Saya melihat notis yang ditandatangani sendiri oleh Azam kepada Mirzan dan Mokhzani.
“Di awal notis itu menyebut bahawa siasatan dikenakan ke atas Dr Mahathir, kemudian kedua-dua abang saya ini diarahkan membuat pengisytiharan harta untuk membantu siasatan itu
“Jadi, itulah yang saya ingat abang saya sebutkan dalam temubual bersama Bloomberg, yang sepatutnya diketahuilah oleh SPRM sebab notis itu keluar daripada agensi itu sendiri,” katanya menerusi video yang dimuat naik di laman YouTube Malaya Daily pada Ahad.
Pada masa sama, Mukhriz mengakui bahawa keluarganya berasa hairan apabila Mokhzani dan Mirzan turut disiasat, sedangkan sasaran utama adalah Dr Mahathir.
“Memang dari awal, kami rasa agak pelik (apabila) siasatan (dimulakan) ke atas seseorang itu, kononnya mungkin disyaki menyalahgunakan kuasa.
“Kita pun belum pasti (sebabnya) kerana tidak diberikan butiran terperinci.
“Tetapi yang disiasat ialah anak kepada orang yang didakwa (melakukan kesalahan) itu,” katanya.
Terdahulu, Mokhzani dilapor mendakwa bahawa, bapanya menjadi suspek utama dalam siasatan yang dijalankan oleh SPRM ketika ditemubual bersama media antarabangsa.
Menurutnya, beliau dan Mirzan pula menjadi saksi kepada kes yang sedang disiasat agensi berkenaan.
Januari lalu, SPRM dilapor memanggil kedua-dua beradik itu untuk disoal siasat, malah turut diarahkan mengisytiharkan segala aset alih dan tidak alih yang berada dalam pegangan mereka, sama ada dalam atau di luar negara.
Pada 6 Februari lalu, Azam dilapor berkata, SPRM belum menerima sebarang maklum balas dan mengatakan Mirzan dan Mokhzani boleh didakwa, jika gagal mengisytiharkan harta mereka kepada agensi itu.
Justeru, Mirzan dan Mokhzani menerusi kenyataan akhbar pada 8 Februari lalu meminta SPRM ‘bersabar’ dan menegaskan bahawa, adalah mustahil untuk mengumpulkan maklumat selama 43 tahun.
Menurut Mirzan dan Mokhzani, SPRM meminta senarai aset sejak 1981, iaitu tahun pertama Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri.