HomeBeritaSultan Pahang dukacita laporan berita bersifat fitnah

Sultan Pahang dukacita laporan berita bersifat fitnah

CYBERJAYA: Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan rasa dukacita dan kecewa berhubung laporan sebuah portal berita yang  bertajuk ‘Sultan Pahang beri amaran terhadap amalan bawaan PAS’ yang disiarkan pada Jumaat lepas.

Pengelola Bijaya Diraja Utama Sultan Pahang, Mejar Jeneral Datuk Mohamed Zahari Datuk Yahya berkata, baginda bertitah bahawa, laporan tersebut bersifat fitnah dan boleh memberikan implikasi negatif sehingga mampu mendorong kepada suasana tidak harmoni dalam masyarakat.

“Paduka Baginda menegaskan titah Baginda ketika sesi Taklimat Pembangunan Daerah Maran di Akademi Tani Chenor, Maran (Pahang) itu tidak seperti yang dilaporkan portal berita berkenaan.

“Kenyataan Paduka Baginda itu tidak ditujukan kepada mana-mana parti politik dan bersifat secara umum.

“Ia memberi maksud mengingatkan supaya masjid yang merupakan tempat ibadat buat umat Islam sentiasa dipelihara kesuciannya,” menurutnya dalam kenyataan pada Ahad.

Beliau berkata, baginda mengingatkan semua pengamal media sama ada media cetak atau media elektronik untuk meneliti dan memperhalusi setiap berita sebelum membuat interpretasi yang boleh menyimpang atau tersasar dari maksud sebenar.

“Etika kewartawanan perlulah dipatuhi pada setiap masa,” katanya.

 

 

Author

Pilihan Editor