CYBERJAYA: Nombor talian Pusat Khidmat Pelanggan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) akan ditukar berkuat kuasa pada 1 April depan.
Menurut KTMB, nombor baharu itu adalah 03-97791200, manakala nombor sekarang iaitu 03-2267 1200 boleh digunakan hingga 31 Mac.
Namun, katanya, waktu operasi dikekalkan mulai jam 7 pagi hingga 10 malam pada setiap hari.
“Pertukaran ini sebahagian inisiatif digitalisasi KTMB dengan memperkenalkan platform baharu khidmat pelanggan iaitu penggunaan chatbot dikenali sebagai Kaseh,” kata KTMB dalam kenyataan pada Khamis.
Penggunaan Kaseh bertepatan pada masa kini memandangkan jenis panggilan yang kerap diterima adalah berbentuk pertanyaan seperti jadual waktu tren, kaedah pembelian tiket, produk, terma dan syarat perkhidmatan serta promosi.
Selain itu, Kaseh juga dilihat dapat meningkatkan fokus petugas di Pusat Khidmat Pelanggan yang lebih berbentuk aduan atau kecemasan.
“Orang ramai digalakkan untuk menggunakan Kaseh bagi sebarang pertanyaan perkhidmatan menerusi laman sesawang www.ktmb.com.my atau di Facebook Messenger KTMB,” menurut kenyataan itu.