HomeBeritaTarikh lihat anak bulan Syawal pada 9 April

Tarikh lihat anak bulan Syawal pada 9 April

TARIKH melihat anak bulan Syawal pada tahun ini ditetapkan pada petang Selasa, 9 April 2024 bersamaan 29 Ramadan 1445 Hijrah.

Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Malaysia dalam satu kenyataan pada Sabtu berkata, Majlis Raja-Raja telah mempersetujui bahawa cara menetapkan tarikh Hari Raya Puasa adalah berdasarkan rukyah dan hisab.

Sebagai makluman, kaedah rukyah bermaksud untuk mencerap anak bulan bagi menentukan sudah masuknya bulan baharu, manakala hisab pula adalah perhitungan astronomi.

Penyimpan Mohor Besar Raja-raja akan mengisytiharkan pada malam itu juga tarikh Hari Raya Puasa yang ditetapkan melalui radio dan televisyen.

Menurut kenyataan sama, jawatankuasa-jawatankuasa yang berkenaan telah diperkenankan melihat anak bulan Syawal pada petang Selasa di 29 lokasi seluruh negara.

“Kawasan tersebut adalah Pontian Kecil, Johor; Kompleks Falak Al-Khawarizmi, Kampung Balik Batu, Tanjung Bidara, Melaka; Kompleks Baitul Hilal Telok Kemang, Port Dickson, Negeri Sembilan; Bukit Melawati, Kuala Selangor; Bukit Jugra, Banting, Kuala Langat; Balai Cerap Selangor, Sabak Bernam, Selangor; Pantai Pasir Panjang, Mukim Pengkalan Baru, Daerah Manjong, Perak dan Pusat Falak Sheikh Tahir, Pantai Aceh, Pulau Pinang.

“Lokasi lain Kampung Pulau Sayak, Kuala Muda; Pemandangan Indah, Pulau Langkawi; Menara Alor Setar, Alor Setar, Kedah; Bukit Besar, Kuala Terengganu; Bukit Geliga, Kemaman; Pulau Perhentian, Besut; Balai Cerap KUSZA, Mukim Merang, Setiu, Terengganu; Bukit Peraksi, Pasir Puteh; Bukit Kampong Tembeling, Mukim Manjur, Daerah Olak Jeram, Kuala Krai dan Menara Bangunan SEDC, Jalan Tengku Putra Semerak, Kota Bharu, Kelantan.

“Selain itu, termasuk juga Pusat Falak Miri; Teluk Bandung, Kuching; Tanjung Batu, Bintulu, Sarawak; Balai Cerap Al-Biruni, Tanjung Dumpil, Putatan, Sabah; Bukit Tanjong Batu, Nenasi; Gunung Berincang, Cameron Highlands; Bukit Pelindong, Kuantan, Pahang; Tingkat 13, Menara Universiti Malaysia Sabah, Kampus Antarabangsa Labuan; Menara Kuala Lumpur, Kuala Lumpur; Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, Putrajaya dan Menara Pandang Masjid Al-Hussain, Kuala Perlis,” katanya lapor Kosmo.

Author

Pilihan Editor