HomeBeritaTiada stoking kalimah Allah di 4 premis KK Mart Batu Pahat -...

Tiada stoking kalimah Allah di 4 premis KK Mart Batu Pahat – MPBP

BATU PAHAT: Tiada sebarang penjualan stoking tertera kalimah Allah di empat premis perniagaan KK Supermart Superstore Sdn Bhd (KK Super Mart) di sini.

Majlis Perbandaran Batu Pahat (MPBP) memaklumkan perkara itu, selepas pemeriksaan dibuat di premis berkenaan yang terletak di Jalan Rugayah, Jalan Rahmat, Jalan Kuning (Taman Bukit Pasir) dan Jalan Besar Rengit (Rengit) pada kira-kira jam 11.30 pagi Rabu.

Menurutnya, pemeriksaan itu diketuai oleh Pejabat Kadi Daerah Batu Pahat bersama sembilan pegawai dan anggota terdiri daripada Pejabat Kadi Batu Pahat dan MPBP.

“Hasil pemeriksaan mendapati, salah satu premis yang terletak di Jalan Besar Rengit dikompaun mengikut Undang-Undang Kecil Perlesenan Iklan 2010, selepas tidak memilki lesen iklan.

“Namun, tiada sebarang premis yang mempunyai stoking tertera kalimah Allah.

“Menjunjung titah Duli Yang Amat Mulia (DYAM) Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor. MPBP mendokong penuh titah DYAM Pemangku Sultan Johor bagi terus mempertahankan kemuliaan Islam di negeri Johor,” katanya menerusi kenyataan di laman Facebook pada Khamis.

Tiada sebarang stoking tertera kalimah Allah di empat premis KK Mart yang terletak di Batu Pahat tersebut. – FB Majlis Perbandaran Batu Pahat

Terdahulu, Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim menggesa pihak berkuasa untuk mengambil tindakan tegas berhubung isu penjualan stoking yang tertera kalimah Allah.

Pada masa sama, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar murka dan menzahirkan perasaan dukacita berhubung isu sama.

Baginda bertitah supaya tindakan paling keras diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati bersalah.

Pada Selasa, Pengasas KK Super Mart antara lapan individu yang sudah dirakam keterangan, bagi membantu siasatan polis berhubung isu tersebut.

13 Mac lalu, tular di media sosial stoking memaparkan kalimah Allah yang dijual di KK Mart Bandar Sunway, dekat Petaling Jaya, Selangor selepas gambar produk itu dimuat naik pengguna.

Rabu minggu lalu, KK Super Mart dilaporkan memohon maaf berhubung video dan gambar tular berkaitan penjualan stoking berjenama Miranosock yang tertera kalimah Allah di beberapa cawangan kedai serbaneka itu.

 

Author

Pilihan Editor