PENJAGAAN sistem pencernaan adalah sangat penting sepanjang bulan Ramadan. Ini kerana melalui proses pencernaan akan memecahkan makanan kepada nutrien yang diperlukan oleh tubuh anda. Jika anda mengabaikan penjagaannya, tubuh anda mungkin menghadapi masalah penyerapan nutrien.
Mari ikuti tips yang dikongsikan oleh HelloDoktor untuk kita amalkan.
1. Makan makanan tinggi serat
Pengambilan makanan tinggi serat dan kaya dengan bijirin, sayur-sayuran, kekacang dan buah-buahan boleh meningkatkan kesihatan pencernaan anda. Bukan sahaja semasa puasa sahaja tetapi hari-hari lain juga.
Ini kerana makanan dengan serat yang tinggi membantu menjaga pergerakan makanan melalui saluran penghadaman anda, mengurangkan kecenderungan mengalami sembelit.
Selain itu, ia juga membantu anda mencegah atau merawat pelbagai keadaan pencernaan, seperti divertikulosis, buasir, dan sindrom usus besar (IBS). Di samping itu, ia dapat membantu anda mencapai atau mengekalkan berat badan yang ideal.
2. Hadkan makanan berlemak
Secara umum, makanan berlemak cenderung melambatkan proses pencernaan, menjadikan anda lebih mudah mendapat sembelit. Walau bagaimanapun, memasukkan sedikit lemak ke dalam diet anda adalah penting sebagai bekalan tenaga.
Tetapi, makanan berlemak berserta dengan makanan serat tinggi akan memudahkan sistem pencernaan anda berfungsi.
3. Air mencukupi bantu proses pencernaan
Walaupun berpuasa, anda perlu memastikan tubuh mendapat air kosong secukupnya iaitu 8 gelas sehari bagi mengekalkan kesihatan sistem pencernaan.
Dengan kuantiti pengambilan air yang mencukupi, serat akan menariknya bersama ke dalam usus besar bagi membentuk najis yang lebih lembut dan melepasi dengan mudah, seterusnya mencegah sembelit.
4. Makan perlahan-lahan
Walaupun anda sedang kelaparan akibat sehari berpuasa tanpa makan dan minum, jangan sesekali makan dengan gelojoh atau tergesa-gesa.
Makan perlahan-lahan dan kunyah setiap suapan atau gigitan sekurang-kurangnya 20 kali. Ini memberi banyak masa perut anda untuk mempersiapkannya mencerna nutrien yang anda berikan, dan membolehkan tubuh serta otak anda memberitahu anda ketika anda sudah cukup atau kenyang.
5. Elakkan tekanan
Terlalu banyak tekanan atau kegelisahan boleh menyebabkan proses pencernaan anda berfungsi secara berlebihan. Oleh itu, cari aktiviti yang boleh mengurangkan tekanan dan lakukannya secara teratur.