HomeBeritaTokoh wartawan negara, Rejal Arbee meninggal dunia

Tokoh wartawan negara, Rejal Arbee meninggal dunia

KUALA LUMPUR: Datuk Ahmad Rejal Arbee Mahmud Isa Arbee menghembuskan nafas terakhir di Hospital Shah Alam pada usia 83 tahun.

Allahyarham pernah menyandang Tokoh Wartawan Negara 2014  serta bekas Pengarang Kumpulan Berita Harian (BH) bermula 1998 hingga 2003.

Isterinya, Datin Noraini Shariff, mengesahkan perkara tersebut menerusi hantaran di Facebook.

“Innalilahi wainna ilaihi rojiun. Suami saya Ahmad Rejal Arbee telah kembali ke rahmatullah sekejap tadi pada jam 2 pagi,”  katanya.

Semasa hidup, beliau turut pernah menjawat jawatan sebagai  Ketua Pengarang Bernama.

Allahyarham yang tinggal di No 5, Jalan Platinum 7/45 Seksyen 7 Shah Alam kemudiannya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Seksyen 21, Shah Alam.

Menurut Berita Harian, Allahyarham mula berkhidmat dengan Bernama sejak 1969 sebagai pemberita kanan sebelum ke Jakarta, Indonesia. 

Sekali gus, menjadi pewarta luar negeri pertama agensi berita itu pada 1973.

Ahmad Rejal adalah antara pengamal media terawal yang meneroka konsep media dwibahasa dan antara kakitangan pengasas Bernama.

Sepanjang berkhidmat di Bernama, Allahyarham pernah menjawat jawatan Ketua Meja Politik dan Parlimen, kemudian dilantik sebagai Timbalan Pengarang dan Ketua Bahagian Ekonomi sebelum meninggalkan agensi berita itu untuk menyertai The News Straits Times pada 1976.

Bagaimanapun, Ahmad Rejal kembali menyertai Bernama sebagai Ketua Pengarang pada 1981 sebelum menamatkan perkhidmatan pada 1989.

Allahyarham juga pernah memegang jawatan sebagai Pengerusi Institut Akhbar Malaysia pada Januari 1984 hingga April 1989.

Selain itu,beliau turut dinobatkan sebagai Tokoh Wartawan Negara 2014 sempena majlis Penganugerahan Tokoh Wartawan Negara dan Hadiah Kewartawanan Malaysia Institut Akhbar Malaysia (MPI)-Petronas 2014 sebagai menghargai sumbangan cemerlang wartawan veteran itu dalam bidang penulisan dan kewartawanan tanah air.

Turut dipilih menerima anugerah tersebut pada tahun itu ialah bekas Pengarang Bersekutu Kumpulan New Straits Times, Allahyarham Zainon Ahmad.

Author

Pilihan Editor