HomeBeritaTuntutan UTC terhadap Sabah ancam negara - Azalina

Tuntutan UTC terhadap Sabah ancam negara – Azalina

CYBERJAYA: Jumlah tuntutan AS$15 bilion (RM70.2 bilion) yang dikemukakan kumpulan digelar United Tausug Citizens (UTC) ke atas Sabah adalah tidak berasas dan perlu ditangani oleh Malaysia.

Hal ini kerana, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, jumlah berkenaan menyamai 16 peratus belanjawan negara.

Menurutnya lagi, kumpulan terbabit juga mengeksploitasi timbang tara demi keuntungan dan ia sama seperti skim pemerasan.

“Malaysia baru-baru ini menghadapi tuntutan tidak berasas daripada UTC berjumlah AS$15 bilion yang mahu pengiktirafan ke atas Sabah.

Azalina dalam kenyataan di platform X berkata, tuntutan itu bukan sahaja mengancam integriti negara berdaulat dan prinsip keadilan, malah memberi risiko terhadap 16 peratus belanjawan negara.

Tambahnya lagi, ancaman UTC untuk menyaman Malaysia di Amerika Syarikat (AS) begitu membimbangkan.

Terdahulu, media melaporkan Malaysia tidak melayan sebarang tuntutan remeh oleh kumpulan digelar sebagai UTC yang mendakwa sebagai ‘penjaga sah Wilayah Kesultanan Sulu’ ke atas Sabah.

Difahamkan, UTC meminta Kerajaan Malaysia membuat pembayaran segera sebanyak AS$15 bilion (RM70.2 bilion) yang didakwa mereka sebagai ‘Cession Money’ (Wang Penyerahan Wilayah).

Menurut Azalina, UTC mahukan pengiktirafan daripada Malaysia sebagai ‘kerajaan yang berdaulat dan merdeka’, selain mengancam mengambil tindakan undang-undang terhadap Malaysia di AS.

Sementara itu, Azalina yang kini berada di Paris, Perancis bagi menghadiri Mesyuarat Menteri Undang-Undang Komanwel memaklumkan, beliau menyentuh mengenai isu kes tuntutan Sulu dihadapi Malaysia sebelum ini.

“Saya membincangkan kes Sulu dan risiko pembiayaan litigasi pihak ketiga (TPLF) terhadap kedaulatan negara.

“TPLF sering mengutamakan keuntungan berbanding keadilan, mencabar tujuan teras sistem perundangan kita,” katanya.

Author

Pilihan Editor