HomeBeritaUmat Islam mula puasa pada Selasa ini

Umat Islam mula puasa pada Selasa ini

CYBERJAYA: Umat Islam di seluruh negara akan menunaikan ibadah puasa sempena bulan Ramadan mulai Selasa ini.

Perkara tersebut diumumkan secara langsung oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad di Radio Televisyen Malaysia (RTM) pada Ahad malam.

Menurut Syed Danial, tarikh permulaan ibadah puasa itu ditetapkan menurut titah perintah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim setelah diperkenan oleh Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja.

Sebelum ini, Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja dalam kenyataan memaklumkan, tarikh melihat anak bulan telah ditetapkan pada Ahad iaitu 10 Mac bersamaan 29 Syaaban 1445 Hijriah.

Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja berkata, Majlis Raja-Raja telah mempersetujui bahawa, cara menetapkan tarikh Permulaan Puasa adalah berdasarkan Rukyah dan Hisab.

Kenyataan itu menyebut, jawatankuasa-jawatankuasa yang berkenaan telah diperkenankan melihat anak bulan Ramadan pada petang hari tersebut di 29 lokasi di seluruh negara.

Author

Pilihan Editor