SIK: Seorang wanita terpaksa menahan sakit hampir tiga jam selepas cincin di jari manis tangan kirinya tersangkut dan sukar ditanggalkan.
Menurut laporan Harian Metro, wanita berusia 27 tahun itu bergegas ke Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sik, pagi ini, dengan ditemani suaminya bangi mendapatkan bantuan untuk menanggalkan cincin tersebut.
Ketua Balai BBP Sik, Zulkhairi Mat Tanjil berkata, wanita itu datang ke BBP Sik pada 8 pagi untuk meminta bantuan bagi kes berkenaan.
Beliau berkata, anggotanya mengambil masa kira-kira lima minit untuk memotong cincin berkenaan menggunakan peralatan khas pemotong cincin (ring’s cutter).
“Operasi dilakukan dengan berhati-hati untuk mengelakkan kecederaan pada jari mangsa.
“Bagaimanapun, mangsa tidak mengalami kecederaan dan hanya mengalami bengkak di jari manis akibat kesan cincin tersangkut itu,” katanya.
Pada masa yang sama, Zulkhairi turut menasihatkan orang ramai khususnya golongan wanita supaya berhati-hati ketika memakai aksesori dan jangan pakai jika ia tidak boleh disarung pada jari mereka.