KHAIRUL Azhari Saut merupakan individu pertama yang menyerahkan borang pencalonan, ketika hari penamaan calon pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu pada Sabtu.
Wakil Perikatan Nasional (PN) berusia 54 tahun itu menyerahkan borang pencalonan pada jam 9.04 pagi, di Dewan Serbaguna dan Kompleks Sukan Daerah Hulu Selangor, dekat Hulu Selangor, Selangor.
Sementara itu, calon Pakatan Harapan (PH), Pang Sock Tao pula menyerahkan borang pencalonan pada jam 9.07 pagi, diikuti calon Bebas, Nyau Ke Xin pada jam 9.22 pagi dan calon Parti Rakyat Malaysia (PRM), Hafizah Zainuddin pada jam 9.55 pagi.
Pusat penamaan calon di dewan itu dibuka mulai jam 9 pagi, manakala proses mengemukakan borang pencalonan berlangsung selama satu jam.
Dengan pusat penamaan calon ditutup tepat pada jam 10 pagi, Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Yuhanas Auree Kamaruddin berkata, ini seterusnya menyaksikan pertembungan empat penjuru pada PRK Kuala Kubu Baharu.
“Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menerima kertas penamaan daripada empat orang calon bagi pemilihan DUN bagi bahagian pilihan raya N06 Kuala Kubu Baharu.
“Saya telah menyemak kertas-kertas penamaan dan setelah selesai disemak, saya berpuas hati memutuskan tiada yang ditolak kertas penamaannya,” katanya seperti dilapor Bernama.
Terdahulu, Khairul Azhari, tiba di pusat pencalonan pada jam 8.46 pagi diiringi beberapa pimpinan parti, termasuk Pengerusi PN yang juga Presiden Bersatu,Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Sementara itu, Pang, 31, tiba pada jam 8.40 pagi diiringi Pengerusi Barisan Nasional (BN) yang juga Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Setiausaha Agung DAP yang juga Menteri Pengangkutan, Anthony Loke; Naib Pengerusi DAP yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming; dan Pengerusi PH Selangor yang juga Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari.
Pada masa sama, Hafizah, 50, dan Nyau, 29 diiringi penyokong dan pencadang masing-masing.
PRK berkenaan diadakan susulan kematian penyandangnya Lee Kee Hiong, 58, pada 21 Mac lepas akibat kanser.
SPR menetapkan tempoh berkempen selama 14 hari bermula selepas pengisytiharan calon yang bertanding sehingga jam 11.59 malam, 10 Mei.
Daftar Pemilih Pilihan Raya (DPPR) bagi PRK Kuala Kubu Baharu adalah sebanyak 40,226 orang, terdiri daripada 39,362 pengundi biasa, 625 anggota polis, 238 anggota tentera dan pasangan serta seorang pengundi tidak hadir luar negara.
Pusat Penjumlahan Rasmi Undi (PPRU) yang digunakan bagi PRK Kuala Kubu Baharu ialah Dewan Serbaguna dan Kompleks Sukan Daerah Hulu Selangor.
Sebanyak 18 pusat mengundi biasa yang mengandungi 74 tempat mengundi atau saluran dan dua pusat mengundi awal iaitu di Rejimen Semboyan Divisyen Ke-4 Infantri dan Dewan Serbaguna Maktab Polis Diraja Malaysia, yang mengandungi tiga tempat mengundi atau saluran awal, akan digunakan.
Kesemua pusat mengundi dibuka mulai jam 8 pagi hingga 6 petang, kecuali pusat mengundi di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Bukit Fraser yang mempunyai 40 orang pengundi, ditutup 2 petang.
SPR menetapkan hari pengundian bagi PRK berkenaan pada 11 Mei, manakala pengundian awal pada 7 Mei.
PRK KKB merupakan yang ketujuh selepas Pilihan Raya Umum ke-15 pada 2022.