HomeBerita4 pemilik akaun FB buat kandungan palsu Tilawah al-Quran disiasat

4 pemilik akaun FB buat kandungan palsu Tilawah al-Quran disiasat

SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah memanggil empat pemilik akaun Facebook, yang disyaki membuat penghantaran kandungan palsu melibatkan penganjuran Tilawah al-Quran pada Jumaat.

MCMC dalam kenyataan pada Sabtu memaklumkan, langkah itu dibuat bagi membantu siasatan serta rakaman percakapan individu terbabit.

Menurut MCMC, semua data yang dimuat naik oleh individu berkenaan telah direkodkan sebagai bahan bukti, untuk siasatan dan tindakan lanjut.

Selain itu, katanya, beberapa lagi individu akan dipanggil bagi membantu siasatan yang sedang dijalankan.

Suruhanjaya itu memaklumkan, kes itu disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588), yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga setahun, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

“MCMC sedang menjalankan siasatan berhubung penyebaran kandungan palsu melibatkan penganjuran Tilawah al-Quran.

“Penyebaran kandungan tersebut dikesan berlaku di aplikasi Facebook melalui beberapa akaun,” menurut kenyataan itu.

MCMC turut menasihatkan orang ramai agar tidak menyalahgunakan perkhidmatan rangkaian dan perkhidmatan aplikasi dalam talian, untuk menyebarkan sebarang kandungan tidak sahih atau palsu.

Sejak beberapa lalu, tular dakwaan di media sosial kononnya Malaysia tidak lagi menganjurkan Tilawah al-Quran, sebaliknya hanya fokus kepada penganjuran konsert.

Namun, Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan pada Rabu memaklumkan bahawa, Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan telah ditetapkan pada 23 hingga 28 Mei di Kuantan, Pahang.

Zulkifli turut dilaporkan berkata, Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Antarabangsa pula akan berlangsung pada 5 hingga 12 Oktober.

 

Author

Pilihan Editor