SEBANYAK 909 unit rumah bakal disediakan bagi generasi baharu Felda di Negeri Sembilan di bawah inisiatif Perumahan Generasi Baharu Felda (PGBF) pada tahun ini.
Exco Kanan Kerajaan Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, ia merangkumi 70 unit rumah di Felda Pasoh 2, Felda Bukit Jalor (239 unit), Felda Bukit Rokan Utara (300 unit) dan Felda Palong 8 (300 unit).
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kemajuan Desa, Perladangan dan Komoditi negeri berkata, projek itu dilaksanakan di bawah pelan inisiatif Aspirasi Perpaduan Negeri Sembilan yang mengutamakan kebajikan dan keperluan para peneroka Felda di negeri ini.
“Antara perkara terpenting yang sedang kerajaan negeri laksanakan adalah penyelesaian isu PGBF.
“Rentetan daripada itu, hasil perbincangan dan laporan status terkini pelaksanaan PGBF di negeri ini, saya ingin memaklumkan bahawa sebanyak 909 unit rumah berkenaan akan dibina,” katanya menerusi kenyataan pada Selasa.
Katanya, beliau akan terus memantau dan memastikan pelbagai isu melibatkan Felda terus diperkemaskan daripada semasa ke semasa.