CYBERJAYA: Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh mengajak orang ramai untuk mengambil langkah memboikot semua produk Datuk Seri Aliff Syukri Kamarzaman.
Menurut Dr Muhamad Akmal, perkara itu penting sebagai pengajaran kepada ahli perniagaan kontroversi tersebut, susulan penerbitan klip video raya yang dianggap tidak menjaga sensitiviti umat Islam khususnya pada bulan Ramadan ketika ini.
“Ini bukan soal kamu nak jaga atau nak jadikan ‘crispy content‘ atau kandungan yang di luar kotak. Ini adalah content yang tak ada otak, Datuk Aliff.
“Jadi, kita teruskan dan minta seluruh rakyat Malaysia kali ini kita bagi pengajaran keras. Kita boikot produk ini biar dia tahu bagaimana kemarahan orang Malaysia,” katanya menerusi hantaran video yang dimuat naik di laman Facebook pada Selasa.
Baru-baru ini, klip video raya memaparkan Aliff dan beberapa individu lain mendapat kecaman daripada pengguna media sosial.
Video tersebut akhirnya terpaksa dipadam olehnya, sebelum Aliff mengeluarkan permohonan maaf kepada pihak yang tersinggung dengan video muzik berkenaan.
Mengulas lanjut, Dr Muhammad Akmal turut memohon Kementerian Komunikasi untuk menurunkan video tersebut dan menarik semua bentuk kandungan yang telah dikeluarkan Aliff.
Selain itu, beliau juga mahukan tindakan undang-undang diambil ke atas ahli perniagaan terbabit.
“Saya mohon kalau KK Mart kita boleh boikot, kali ini kita juga kena bagi pengajaran yang keras terhadap Datuk Aliff,” katanya.
Beliau berkata, ini bukan kali pertama tindakan tersebut dilakukan, malah kesalahan sama pernah dilakukan ahli perniagaan itu dan masih dibicarakan di mahkamah.
“Takkanlah setiap tahun hendak buat (video sensitif) kemudian minta maaf? Tak boleh ke jaga sensitiviti umat Islam di kala bulan Ramadan ini.
“Mahu keluarkan lagi, silakan, tetapi janganlah keluarkan lagi video menyakitkan hati dan mata orang.
“Langsung tak jaga sensitiviti dengan pakai begitu, cukup-cukuplah,” tegasnya.
Pada Selasa, Aliff tampil mendedahkan dirinya tidak mengeluarkan lagu raya buat para peminatnya seperti kebiasaan pada tahun ini.
Menerusi hantaran di laman Instagram, Aliff memaklumkan, video lagu raya yang dimuat naiknya sebelum ini adalah sekadar gurauan buat para pengikutnya di media sosial.