HomeBeritaAkmal Saleh disiasat mengikut Akta Hasutan - KPN

Akmal Saleh disiasat mengikut Akta Hasutan – KPN

SEBANYAK dua laporan polis melibatkan ucapan dan tindakan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh berhubung isu stoking tertera kalimah Allah, yang dijual di kedai serbaneka KK Mart.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain memaklumkan, siasatan telah pun dijalankan ke atas Dr Muhamad Akmal mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948.

Pada masa sama, beliau berkata, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau itu turut disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Kertas siasatan akan dirujuk ke Pejabat Peguam Negara setelah kesemua tindakan melengkapkan siasatan diambil,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Sementara itu, Razarudin turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membangkitkan lagi isu berkaitan stoking tertera kalimah Allah berkenaan.

Beliau berkata, hal ini kerana individu yang terlibat dalam kes itu sudah pun dituduh, dengan proses keadilan akan ditentukan mahkamah.

Terdahulu, Dr Muhamad Akmal telah ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu, dekat Kota Kinabalu, Sabah pada Jumaat pagi.

Dr Muhamad Akmal yang juga Exco Kerajaan Negeri Melaka mengesahkan perkara tersebut menerusi hantaran di laman Facebook.

Menurut hantaran tersebut, Dr Muhamad Akmal memaklumkan bahawa, beliau sepatutnya dijadualkan memberi keterangan di IPD Dang Wangi, Kuala Lumpur pada Sabtu.

Beliau turut mengesahkan akan memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak polis.

Pada Rabu, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim bertitah supaya tindakan segera diambil kepada pihak yang cuba menghasut rakyat, terutama berkait isu kedai serbaneka KK Mart sehingga mencetuskan keresahan dalam kalangan rakyat.

Malah, Jemaah Menteri juga senada dengan titah Seri Paduka itu serta mahu aspek penguatkuasaan diberi perhatian utama serta disegerakan, susulan tiga insiden serangan ke atas premis KK Mart baru-baru ini.

Ketika ini, Dr Muhamad Akmal antara individu yang lantang menyuarakan pandangan, berhubung isu stoking tertera kalimah Allah yang dijual di KK Mart.

Difahamkan, beliau juga merupakan antara yang terawal menggesa rakyat Malaysia untuk memboikot premis tersebut.

Menurutnya, kempen boikot itu diadakan sebagai pengajaran keras kepada semua pihak yang sewenang-wenangnya memperlekehkan isu agama dan bangsa.

 

Author

Pilihan Editor