HomeBeritaAmbil sikap profesional sepanjang kempen PRK Kuala Kubu Baharu - JAIS

Ambil sikap profesional sepanjang kempen PRK Kuala Kubu Baharu – JAIS

SEMUA penjawat awam di bawah seliaan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) diingatkan supaya mengambil sikap profesional dan mematuhi arahan yang dibuat oleh Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), sepanjang tempoh berkempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Bharu.

Pengarah JAIS, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata, masjid, surau dan sekolah di bawah kawal selia JAIS tidak dibenarkan dijadikan tempat berpolitik atau propaganda politik kepartian.

“JAIS ingin mengingatkan bahawa titah Sultan Selangor dan ketetapan MAIS berhubung perkara ini masih berkuat kuasa dan perlu dipatuhi sepenuhnya.

“Pegawai masjid, pentadbir surau dan ketua guru bertanggungjawab terhadap premis yang berada di bawah kawalannya dengan melaksanakan amanah ini dengan jujur dan ikhlas tanpa dipengaruhi oleh sebarang sentimen politik kepartian,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Tambahnya, sekiranya perkara berkaitan masih dilakukan, JAIS akan merujuk garis undang-undang bagi diambil tindakan.

Katanya, ini termasuk Seksyen 12 (a) dan (b) Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995, Peraturan-Peraturan Masjid dan Surau (Negeri Selangor) 2017, Garis Panduan Perlantikan, Penyambungan Dan Penamatan Tauliah Pendaftar Dan Penolong Pendaftar Perkahwinan, Perceraian Dan Ruju’ Orang Islam Negeri Selangor dan Peraturan-Peraturan Pegawai Awam Negeri Selangor (Kelakuan Dan Tatatertib) (Pindaan) 2006.

Author

Pilihan Editor