HomeBeritaViralAngkara ego di jalanan, kereta Waja terbabas dan terbalik

Angkara ego di jalanan, kereta Waja terbabas dan terbalik

SIKAP saling bertolak ansur sewajarnya diterapkan oleh semua pengguna jalan raya terutamanya menjelang musim perayaan ini.

Hal ini bagi mengelakkan sebarang kemalangan jiwa yang berpunca daripada segelintir pengguna jalan raya yang bertindak memandu secara berbahaya.

Seperti yang tular di media sosial, baru-baru ini,  sebuah rakaman dashcam yang menunjukkan dua kereta berentap di tengah jalan raya.

Menerusi rakaman video tersebut, kelihatan kereta Proton Waja berwarna hitam telah bertindak memasuki lorong kanan secara mengejut menyebabkan sebuah kereta Honda City di belakangnya terpaksa brek secara mengejut.

Kereta Waja tersebut difahamkan, bertindak sedemikian kerana cuba untuk memotong lori di lorong tersebut. 

Namun, tindakan tersebut telah menimbulkan tidak puas hati terhadap pemandu kereta Honda terbabit, lalu mula memotong dan melakukan aksi berbahaya.

Aksi langgar melanggar dipaparkan dalam video tersebut bertukar tragis apabila akhirnya kereta Proton Waja tersebut terbabas dan melanggar pembahagi jalan sekaligus menyebabkan ia terbalik.

Sejurus kemalangan berlaku, pemilik dashcam kereta dilihat terus berhenti di tepi jalan untuk membantu pemandu Waja yang kemalangan.

Kelihatan juga mereka semua memarahi pemandu kereta Honda terbabit atas kelakuannya di jalan raya.

Menurut laporan Sinar Harian, kedua-dua mangsa terlibat berumur 50-an dan 30-an itu  mengalami kecederaan di bahagian kepala dan tangan.

Siasatan awal mendapati, kereta jenis Proton Waja dinaiki dua mangsa itu dari Kuantan menuju ke Kedah manakala Honda City dari Temerloh menuju ke Shah Alam.

Mereka bagaimanapun disahkan dalam keadaan stabil selepas menerima rawatan manakala kes disiasat mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Menjengah ke ruangan komen pula, rata-rata netizen berpendapat bahawa kedua-dua pemandu tersebut telah dikuasai amarah dan ego tinggi sehingga membahayakan nyawa sendiri.

“Ikutkan sangat hawa nafsu marah. Lepas ja waja tu terbabas confirm dia menyesal dah. Nafsu marah ni puas sekejap saja,” ujar @syimbellingham.

“Dua-dua salah. Kat atas jalan ni tak perlu la nak tunjuk siapa yang terpaling hero. Bertimbang rasalah, dua-dua nak sampai selamat. Dah jadi macam ni, kan dah menyusahkan,” kata @izsmin.

“Macam tu je main dengan nyawa manusia. Tak sayang diri sendiri. Tak takut ke kalau perbuatan kita tu bunuh orang,” kata @ditolaksemesta.

Author

Pilihan Editor