HomeGlobalIran ancam hapuskan Israel jika diserang lagi

Iran ancam hapuskan Israel jika diserang lagi

 

PRESIDEN Iran, Ebrahim Raisi mengancam memusnahkan Israel jika rejim Zionis cuba menyerang Iran sekali lagi.

Raisi tiba di Pakistan pada Isnin untuk lawatan tiga hari. Beliau bercakap mengenai ketegangan baru-baru ini antara Tehran dan Baitulmaqdis Barat dalam satu majlis di Punjab, pada Selasa.

“Jika rejim Zionis sekali lagi melakukan kesilapan dan menyerang tanah Iran yang suci, keadaan akan berbeza, dan tidak dapat pastikan apa yang akan tinggal dalam rejim itu,” kata Raisi yang dipetik agensi berita negara IRNA.

Israel tidak pernah secara rasmi mengakui serangan udara 1 April ke atas konsulat Iran di Damsyik, Syria yang membunuh tujuh pegawai kanan Pasukan Quds Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC). Tehran bagaimanapun bertindak balas pada 13 April, menembak puluhan dron dan peluru berpandu ke beberapa sasaran di Israel.

Iran memandang remeh beberapa siri letupan yang dilaporkan berhampiran bandar Isfahan pada Jumaat lalu, yang dikhabarkan sebagai tindak balas daripada Israel. Baitulmaqdis Barat tidak mengakui serangan yang dilaporkan, sambil mengkritik seorang menteri Kabinet yang bercakap mengenainya secara tidak langsung. Tehran memilih untuk mengabaikannya daripada memberi balasan pantas dan dahsyat yang dijanjikan.

Republik Islam berkali-kali berikrar untuk menghapuskan, menghancurkan atau memusnahkan rejim Zionis Israel.

Bercakap di Lahore pada Selasa, Raisi berikrar untuk terus menyokong penentangan Palestin secara terhormat. Dia juga mengecam Amerika Syarikat (AS) dan Barat secara kolektif sebagai pelanggar hak asasi manusia yang paling besar, yang menunjukkan sokongan terhadap pembunuhan beramai-ramai oleh Israel di Gaza.

Setakat ini, lebih 34,000 rakyat Palestin di enklaf itu telah terkorban dalam operasi ketenteraan Israel. Israel mengisytiharkan perang ke atas Hamas selepas serangan 7 Oktober oleh kumpulan itu yang berpangkalan di Gaza yang meragut nyawa kira-kira 1,200 orang Israel.

Raisi berjanji untuk meningkatkan perdagangan Iran dengan Pakistan kepada AS$10 bilion (RM47.77 bilion) setiap tahun. Hubungan antara kedua-dua jiran itu bergelora sejak Januari, apabila Iran dan Pakistan bertukar-tukar serangan udara dan dron ke atas ‘kem pengganas’ di wilayah masing-masing. – RT

Author

Pilihan Editor