HomeBeritaKerjasama dua hala bincang isu pekerja Indonesia

Kerjasama dua hala bincang isu pekerja Indonesia

INDONESIA meletakkan harapan agar Malaysia membawa penambahbaikan terhadap dasar berkaitan tenaga kerja di negara ini.

Langkah ini seterusnya akan memberi peningkatan dalam kebajikan dan perlindungan kepada pekerja asing Indonesia.

Perkara itu dibangkitkan Menteri Tenaga Kerja Indonesia, Ida Fauziyah ketika mengadakan pertemuan dengan Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong di Kuala Lumpur pada Ahad.

Pertemuan itu diadakan bagi membincangkan mengenai kerjasama dua hala tenaga kerja dan isu berkaitan pekerja Indonesia.

“Saya percaya dengan sokongan Sim, kerjasama dalam tenaga kerja yang diwujudkan oleh kerajaan Indonesia dan Malaysia akan membuahkan hasil yang lebih konkrit,” katanya.

Pada masa sama, Fauziyah dan Sim bersetuju untuk memperbaharui memorandum persefahaman (MoU) mengenai perlindungan dan penempatan pekerja Indonesia di sektor formal, yang ditandatangani pada dua dekad lalu.

Kedua-dua menteri itu berkongsi pandangan mengenai keperluan untuk mengkaji semula perkara yang digariskan dalam MoU berkenaan, bagi menyesuaikannya dengan keadaan dan perkembangan semasa.

“Kami amat bersyukur kerana berpeluang bertemu dan bertukar maklumat mengenai kerjasama dua hala antara Indonesia dan Malaysia berhubung isu penempatan dan perlindungan pekerja asing Indonesia,” kata Fauziyah.

Sabtu lalu, Fauziyah menghadiri majlis pelancaran Bolehpayz, iaitu aplikasi pembayaran digital yang dijangka melindungi rakyat Indonesia yang bekerja di Malaysia.

Antara isu yang boleh dibangkitkan menerusi aplikasi itu termasuk kelewatan pembayaran gaji dan pengurangan gaji berlebihan.

“Aplikasi ini dijangka berfungsi sebagai satu lagi penyelesaian kepada transaksi kewangan,” katanya. – Agensi

Author

Pilihan Editor