HomeBeritaKes bagasi RM500,000: Tiga saksi masih belum tampil

Kes bagasi RM500,000: Tiga saksi masih belum tampil

KUALA LUMPUR: Polis masih belum dapat merakam keterangan tiga individu yang didakwa mempunyai kaitan dengan pemilikan bagasi berisi wang tunai kira-kira RM500,000 di tempat letak kereta sebuah pusat beli-belah sebelum ini.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, ini kerana ketiga-tiga individu iaitu rakan kepada pengarah syarikat yang menjalankan perniagaan berasaskan kayu balak dikatakan masih berada di luar negara.

“Kita masih menunggu mereka tampil untuk dirakam percakapan namun mereka memberikan alasan berada di luar negara.

“Siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti sumber wang tersebut yang didakwa untuk digunakan bagi perniagaannya,” katanya ketika ditemui di Masjid Negara di sini hari ini, lapor Kosmo!.

Terdahulu, Hussein hadir bagi memberi penghormatan kepada bekas Ketua Polis Negara, Tun Mohammed Haniff Omar yang meninggal dunia akibat komplikasi buah pinggang pada pukul 2.15 pagi tadi.

Sebelum ini, Hussein mengesahkan seorang pengarah syarikat kayu balak telah tampil memberi keterangan kepada pihak polis pada 30 Mac selepas mendakwa bagasi terbabit adalah miliknya.

Pengarah syarikat itu mendakwa bagasi mengandungi wang itu diambil dari rumah rakannya yang ingin memulangkan wang dipinjamkan tahun lalu untuk tujuan pelaburan.

Bagaimanapun, individu terbabit tidak membawa sebarang rekod dan bukti yang mengatakan wang terbabit adalah milik syarikatnya semasa keterangannya direkodkan.

Author

Pilihan Editor