SEBUAH kilang memproses cat musnah dalam kebakaran di Taman Perindustrian Meru, dekat Shah Alam, Selangor pada Isnin pagi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Makhtar berkata, pihaknya menerima panggilan berkaitan kecemasan berhubung kejadian pada jam 6.34 pagi.
Beliau berkata, seramai 39 pegawai dan anggota bersama jentera dari dari lapan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) antaranya BBP Kapar, BBP Klang Utara dan BBP Andalas bergegas ke lokasi kejadian bagi mengawal kebakaran selepas mendapat panggilan kecemasan.
“Kerja pemadaman turut melibatkan pasukan dari BBP Pelabuhan Klang, BBP Kota Raja, BBP Shah Alam, BBP Bukit Jelutong serta BBP Rawang.
“Kebakaran melibatkan dua bangunan kilang memproses cat. Semasa tiba api sedang marak dan sebahagian besar bangunan sudah dijilat api,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Ahmad Mukhlis berkata, tiada sebarang kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan dalam kejadian itu manakala punca kejadian serta jumlah kerugian masih dalam siasatan.