HomeBeritaKomen jelik nahas helikopter TLDM, polis siasat 'Saifuddin Shafik'

Komen jelik nahas helikopter TLDM, polis siasat ‘Saifuddin Shafik’

POLIS mengesahkan sudah membuka kertas siasatan terhadap pemilik akaun laman X menggunakan nama ‘Saifuddin Shafik, yang membuat komen jelik berhubung tragedi dua helikopter terhempas di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Lumut, Perak baru-baru ini.

Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain, kertas siasatan itu dirujuk ke Pejabat Peguam Negara selari dengan peruntukan Perkara 145 (3) Perlembagaan Persekutuan.

Beliau berkata, sebuah telefon bimbit jenis iPhone 12 Pro yang dipercayai digunakan untuk membuat hantaran tersebut turut dirampas.

“Siasatan dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Bahagian Pendakwaan/Undang-undang (D5), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1995, Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya menerusi kenyataan pada Khamis.

Mohd Shuhaily berkata, pihaknya turut menasihati orang ramai supaya tidak membuat sebarang ulasan atau spekulasi demi menjaga sensitiviti keluarga mangsa terlibat.

“Turut diingatkan agar semua cakna dan prihatin terhadap isu-isu sensitif terutama melibatkan kegentaran awam melalui media sosial dan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang menjejaskan ketenteraman awam dan keselamatan negara,” katanya.

Tangkap layar hantaran pemilik akaun X pada Selasa lalu.

Selasa lalu, satu laporan polis dibuat susulan paparan jelik dan biadab menghina anggota tentera yang terkorban dalam insiden nahas dua helikopter, ketika menjalani latihan raptai di ruang udara Pangkalan TLDM, Lumut.

Pengamal media, Kamal Abas, 51, membuat laporan polis itu di Ibu Pejabat Polis Daerah Kerian terhadap pemilik akaun laman X berkenaan.

Kamal berkata, perkara itu juga tidak boleh dipandang enteng kerana ia mampu menimbulkan pelbagai impak negatif kepada masyarakat.

Tindakan itu juga dianggap melampau dan tidak menghormati sensitiviti keluarga, yang masih berada dalam keadaan sedih akibat kehilangan ahli keluarga susulan tragedi tersebut.

 

 

 

Author

Pilihan Editor