POLIS menahan seorang lelaki selepas disyaki mencuri beg tangan seorang wanita yang sarat mengandung sembilan bulan pada Isnin.
Menurut Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim, kejadian tersebut berlaku di dalam tandas sebuah pasar raya di Seksyen 23, Shah Alam, Selangor.
Mohd Iqbal berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 10.57 malam.
Beliau berkata, insiden dilaporkan berlaku ketika mangsa berusia 37 tahun itu pergi ke pasar raya terbabit seorang diri untuk membeli barang persiapan bersalin.
“Mangsa kemudian masuk ke tandas sebelum menyedari beg tangannya yang disangkut pada pintu tandas, telah dilarikan. Mangsa kemudian bergegas keluar dari tandas dan menjerit meminta tolong.
“Orang ramai yang berada di sekitar lokasi itu mengejar sebelum berjaya menangkap suspek dan menyerahkannya kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Mohd Iqbal berkata, hasil semakan mendapati, suspek berusia 22 tahun itu memiliki empat rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah.
Susulan itu, beliau berkata, suspek direman tiga hari mulai Selasa hingga Khamis ini, bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat lanjut mengenai kejadian itu diminta menghubungi Penolong Pegawai Penyiasat, Sarjan Muhammad Fairunizam Puasa melalui talian 013-6616845 bagi membantu siasatan,” katanya.