TENTERA Laut Diraja Malaysia (TLDM) menubuhkan sebuah lembaga siasatan bagi menyiasat nahas membabitkan dua helikopter pasukan itu, yang berlaku di Pangkalan TLDM Lumut pada Selasa pagi.
Menurut Cawangan Komunikasi Strategik TLDM, nahas yang berlaku pada jam 9.32 pagi itu membabitkan Helikopter Operasi Maritim (HOM-AW139) dan helikopter Fennec TLDM yang terhempas ketika menyertai raptai Perbarisan Hari TLDM ke-90.
“Insiden ini membabitkan 10 orang iaitu masing-masing tujuh kru HOM TLDM dan tiga kru Fennec TLDM.
“Kesemua mangsa disahkan terkorban di tempat kejadian dan mayat mereka dihantar ke Hospital Angkatan Tentera Pangkalan TLDM Lumut untuk proses pengecaman.
“TLDM akan menubuhkan Lembaga Siasatan bagi mengenal pasti punca kejadian,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Pada masa sama, TLDM memohon orang ramai supaya tidak menularkan video kejadian demi menjaga sensitiviti keluarga dan proses penyiasatan.
Sebelum ini, kedua-dua pesawat itu berlepas dari Padang Sitiawan pada jam 9.03 pagi, sebelum kedua-duanya bertembung ketika menyertai formasi penerbangan.
Susulan pertembungan itu, pesawat HOM yang dinaiki tujuh kru terhempas di Stadium TLDM Lumut, manakala pesawat Fennec yang membawa tiga lagi individu terhempas di kolam renang Kompleks Sukan TLDM Lumut.