HomeBeritaNak tembak isteri tapi terkena pengawal peribadi di KLIA

Nak tembak isteri tapi terkena pengawal peribadi di KLIA

SEORANG pengawal peribadi mengalami kecederaan parah, selepas seorang lelaki bertindak melepaskan tembakan terhadap isterinya dalam kejadian di Balai Ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) 1, dekat Sepang, Selangor pada Ahad.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.15 pagi itu, lelaki terbabit melepaskan dua das tembakan, namun salah satu daripadanya terkena seorang lelaki tempatan yang juga pengawal peribadi. 

Menurut Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, siasatan awal mendapati, lelaki tersebut mahu melepaskan tembakan ke arah isterinya  yang sedang menunggu kepulangan jemaah umrah. 

“Bagaimanapun, tembakan berkenaan mengenai seorang individu mengakibatkan mangsa mengalami kecederaan parah sebelum suspek kemudiannya bertindak melarikan diri sejurus selepas kejadian,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Beliau berkata, motif kejadian masih dalam siasatan pihak polis dan diklasifikasikan sebagai kes cubaan bunuh mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan.

“Kita juga menyiasat kes berkenaan di bawah Akta Senjata api,” jelasnya.

Hussien berkata, identiti suspek telah dikenal pasti manakala operasi mengesan lelaki berkenaan giat dilakukan.

Katanya, suspek dipercayai telah melarikan diri ke arah utara.

“Kejadian yang berlaku adalah bersifat peribadi dan tidak melibatkan sebarang aktiviti keganasan atau mana-mana kumpulan.

“Namun, keadaan di KLIA adalah terkawal dan selamat,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain dilapor berkata, suspek berusia 38 tahun itu memiliki tiga rekod lampau.

Menurutnya, dua rekod ialah kes ugutan jenayah yang disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan satu lagi kes babit curi dan menyamar sebagai penjawat awam yang disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan serta Seksyen 170 Kanun Keseksaan.

Author

Pilihan Editor