PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan rasa sedih dan terkesan dengan kecurangan yang berlaku membabitkan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).
Perdana Menteri berkata, kecurangan masalah rasuah, biarpun membabitkan jabatan kecil daripada keluarga JKDM, masih boleh menyebabkan kerugian hampir RM2 bilion kepada negara.
“Sehingga kini dengan mendapat maklumat daripada badan penguat kuasa termasuk SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia), pimpinan dan pimpinan kanan penjawat awam, masih terhindar daripada masalah rasuah dan salah guna kuasa.
“Tetapi masih berlaku kecurangan yang bagi saya sangat mengesankan dan menyedihkan termasuk berita baharu dari Kastam (JKDM),” katanya, lapor Berita Harian.
Beliau berkata demikian pada Majlis Perhimpunan Bulanan Bersama Warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) di Puspanitapuri hari ini.