HomeBeritaPM terima kunjungan hormat Prabowo

PM terima kunjungan hormat Prabowo

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima kunjungan hormat Presiden Terpilih Indonesia merangkap Menteri Pertahanan, Prabowo Subianto di Perdana Putra, Putrajaya pada Khamis.

Menerusi hantaran di laman Facebook, Anwar berkata, pertemuan tersebut merupakan sebahagian daripada rangka lawatan khas sehari Prabowo ke Malaysia.

“Momen ini kami gunakan untuk berkongsi pengalaman dan bertukar pendapat mengenai karier masing-masing dan hala tuju seterusnya dalam merapatkan lagi hubungan Malaysia-Indonesia.

“Perjalanan karier politik kami yang hampir sama apabila diuji dengan pelbagai cabaran sebelum dilantik, juga menjadi topik perbincangan santai selain diselang-seli dengan kisah Prabowo sewaktu beliau melanjutkan pelajaran dan pendidikan menengah di Victoria Institution (VI) Kuala Lumpur,” tulisnya.

Pada masa sama, Anwar sempat menitipkan ucapan tahniah dan selamat maju jaya kepada Prabowo yang bakal dilantik sebagai Presiden Indonesia Kelapan.

“Semoga hubungan persahabatan Malaysia-Indonesia terus erat dan diperkukuh demi kebaikan bersama di masa hadapan,” katanya.

Lawatan khas sehari Prabowo itu merupakan lawatan pertama beliau ke Malaysia, selepas diumum sebagai pemenang rasmi Pemilihan Presiden Indonesia bagi penggal 2024-2029.

Author

Pilihan Editor