CYBERJAYA: Perdana Menteri, Datuk Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menerima kunjungan dari Menteri Luar Negeri Republik Kyrgyz, Zheenbek Kulubaev di pejabat beliau pada Selasa.
Menerusi hantaran di laman Facebook pada Rabu, Perdana Menteri berkata, perbincangan yang disifatkannya sebagai bermanfaat itu menyaksikan persetujuan bahawa masih terdapat banyak peluang untuk diteroka antara kedua-dua negara.
Beliau berkata, hal itu terutamanya dalam memperkukuhkan hubungan dagangan dan pelaburan dua hala antara Malaysia dan Republik Kyrgyz.
“Saya yakin bahawa lawatan ini akan membuka ruang bagi kolaborasi dan mencetus kerjasama yang lebih substantif antara kedua-dua negara.
“Sekalung penghargaan juga dizahirkan atas jemputan dari Presiden Republik Kyrgyz untuk melawat negara itu Mei nanti, Insya-Allah,” katanya.
Pada masa sama, Anwar turut berharap agar hubungan kedua-dua negara akan lebih akrab di masa hadapan.