KUALA LUMPUR: Polis menahan 15 pelayan pelanggan (GRO) wanita warga China dan seorang lelaki tempatan dalam serbuan terhadap sebuah pusat hiburan di tingkat tiga sebuah premis di Jalan Raja Chulan di sini, semalam.
Serbuan yang bermula jam 12 tengah malam hingga 6 pagi itu, dijalankan menerusi Op Pintas Pusat Hiburan oleh Bahagian D3 (Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman bersama JSJ Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi.
Ketua Penolong Pengarah Bahagian D3 (Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran) Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, premis hiburan diserbu itu adalah kelab karaoke TV (KTV) yang mempunyai lesen perniagaan dan dikesan baru sebulan beroperasi.
Menurutnya, berselindung di sebalik lesen restoran makanan dan minuman, pengurus juga memberi alasan kesemua GRO yang bekerja di situ datang sendiri tanpa paksaan bagi mengelak daripada ditahan.
“Hasil pemeriksaan dan serbuan telah berjaya membuat tangkapan seramai 16 individu yang melanggar pelbagai kesalahan.
“Mereka yang ditahan terdiri daripada seorang lelaki tempatan berumur 32 tahun dan 15 wanita warga asing dipercayai bekerja sebagai GRO berumur antara 23 hingga 38 tahun,” katanya menerusi kenyataan pada Ahad.
Katanya lagi, kes disiasat di bawah Seksyen 6(1) (c) dan Seksyen 55B Akta Imigresen 1956/63 serta Peraturan 39 (b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963.